Sunday, May 16, 2021

Apakah petisyen tamat darurat Khalid disokong PH?

Komitmen pemimpin PH untuk menamatkan darurat dipersoalkan selepas gagal tunjukkan sokongan kepada usaha Tamat Darurat yang diusahakan Khalid Samad.

Other News

Persoalan setakat mana sokongan yang diterima Ahli Parlimen Amanah Khalid Samad daripada rakan-rakannya dalam Pakatan Harapan (PH) timbul ketika beliau membentuk jawatankuasa pendesak darurat ditamatkan.

Hal ini muncul selepas MalaysiaNow dimaklumkan sumber yang boleh dipercayai bukan sahaja kebanyakan ahli Parlimen dari PH gagal hadir menunjukkan sokongan kepada Khalid di pintu Istana Negara pada 20 April lalu, bahkan petisyen yang diserahkan kepada setiausaha sulit Agong tempohari hanya ditandatangani ahli Parlimen Shah Alam itu sahaja.

Sumber yang rapat dengan kepimpinan Amanah berkata memorandum yang disampaikan Jawatankuasa Rayuan Tamatkan Proklamasi Darurat itu kepada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah adalah ringkas dan hanya ditandatangan oleh Khalid sahaja.

“Banyak pertanyaan mengapa surat yang sangat bergantung kepada jumlah tandatangan ahli Parlimen itu hanya memiliki tanda tangan Khalid sahaja,” kata sumber itu.

Beberapa hari sebelum himpunan penyerahan memorandum kepada Agong yang diadakan 20 April lalu, jawatankuasa yang lebih dikenali sebagai “Tamat Darurat” mempromosikan pemimpin utama PH termasuk Presiden PKR Anwar Ibrahim bakal hadir di istana.

Perkara yang menarik pengamal media adalah kenyataan penganjur himpunan yang berkata Anwar dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad akan hadir, ia dilihat sebagai kali pertama kedua-dua seteru politik itu dilihat bersama selepas kejatuhan PH daripada pentadbiran tahun lalu.

Bagaimanapun, Anwar, yang sepatutnya menjadi sebahagian anggota delegasi terdiri dari tiga orang untuk masuk menyerahkan memorandum itu kepada pihak istana, tidak hadir dan dilaporkan menghadiri sebuah acara di Port Dickson.

Antara yang turut hadir pada hari tersebut termasuk bekas perdana menteri dan Ahli Parlimen Langkawi, Mahathir, anaknya, Mukhriz Mahathir, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Timbalan Setiausaha Agung DAP Teresa Kok dan Naib Presiden PKR Tian Chua, selain sekumpulan kecil ahli Parlimen PH dari Lembah Kelang.

Khalid kemudian mengumumkan istana bersetuju untuk menerima Tamat Darurat menghadap, namun tarikh terperinci masih belum diberikan.

Ia adalah percubaan kali keduanya dalam usaha jawatankuasa itu menghadap Agong. Jawatankuasa itu juga berharap Agong bersetuju untuk menyegerakan penamatan darurat yang dijadualkan bakal berakhir Ogos depan.

Perintah darurat diisytiharkan pada Januari lalu selepas negara menyaksikan peningkatan mendadak kes baru jangkitan Covid-19 di seluruh negara.

Ia adalah susulan daripada pengumuman kedua pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang lebih dikenali PKP 2.0 di seluruh negara.

Sebelum ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin beberapa kali memberikan jaminannya bahawa kerajaan sivil akan terus berfungsi walaupun sidang Dewan Rakyat ditangguhkan.

Beliau turut berkata pilihan raya akan diadakan selepas darurat berakhir dengan syarat keadaan Covid-19 bertambah baik.

Sepanjang tempoh darurat, jawatankuasa khas yang dianggotai 19 orang terdiri daripada pemimpin masyarakat dan ahli politik ditubuhkan bagi menasihati Agong, termasuk mengesyorkan penamatannya.

Jawatankuasa itu termasuk tiga anggota daripada pembangkang mewakili tiga parti komponen PH.

Walaupun wujud gesaan untuk memboikot jawatankuasa tersebut, mereka bagaimanapun bersetuju untuk menyertainya.

Sementara itu, Khalid tetap meneruskan penubuhan Tamat Darurat sebagai NGO pendesak bagi mendapatkan sokongan beberapa individu dan ahli-ahli Parlimen selain sokongan daripada sekurang-kurangnya 100 kumpulan kebajikan dan agama termasuk persatuan Buddha, kelab peminat politik sehinggalah peniaga-peniaga kereta Bumiputera.

“Jika kita kira semua kumpulan ini yang berikan sokongan kepada ahli Parlimen pembangkang yang lantang bersuara menentang perintah darurat, sepatutnya perhimpunan pada 20 April itu tunjukkan kekuatan mereka di pintu istana.

“Tetapi itu tak berlaku, menyebabkan persoalan timbul adakah ahli-ahli Parlimen ini benar-benar komited nak tamatkan darurat,” kata sumber Amanah itu kepada MalaysiaNow.

Setakat ini, usaha MalaysiaNow untuk mendapatkan respons dari Khalid Samad masih tidak berjaya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles