- Iklan -
Berita

45 pelanggan dikompaun tidak patuh SOP di restoran

Pengurusan restoran terbabit turut dikenakan kompaun sebanyak RM10,000.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi memutuskan penularan virus Covid19 perlu dipatuhi orang ramai.
SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi memutuskan penularan virus Covid19 perlu dipatuhi orang ramai.

Seramai 45 pelanggan sebuah restoran popular di Jalan Teluk Sisek, dikompaun RM1,500 ke RM2,000 seorang kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP) semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan Mohamad Noor Yusof Ali berkata kompaun terhadap mereka termasuk tujuh wanita itu dikeluarkan selepas pemeriksaan dilakukan pada 11.55 malam, mendapati mereka tidak mengamalkan penjarakan fizikal di restoran itu.

“Dua pelanggan didenda kerana tidak mengimbas aplikasi MySejahtera dan ketika ditanya seorang daripada mereka menunjukkan pendaftaran yang sudah lepas iaitu pada 21 April.

“Kami mendapati kebanyakan mereka memenuhi meja yang sama walaupun terdapat banyak meja kosong yang lain dan alasan yang diberikan ialah mereka tidak mengetahui peraturan jarak satu meter itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Noor berkata pengurusan restoran terbabit turut dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 kerana gagal memastikan pelanggan mematuhi SOP.

“Pihak pengurusan memberitahu kami bahawa mereka telah menasihati pelanggan berkenaan tetapi mereka enggan mendengar. Bagi kami, pihak restoran sepatutnya menghubungi polis atau penguat kuasa majlis bandar raya apabila berdepan situasi itu,” katanya.

Mohamad Noor berharap kompaun itu akan memberi pengajaran kepada orang awam dan pengurusan tempat makan di Kuantan supaya mematuhi SOP untuk mengekang penularan Covid-19.