- Iklan -
Berita

Umno rujuk RoS, MKN berhubung SOP pemilihan parti

Keputusan tersebut diambil bagi menjalankan pemilihan parti yang mematuhi SOP Covid-19.

Farhira Farudin
1 minit bacaan
Kongsi
Perhimpunan Agung Umno yang diadakan Mac lalu. Beberapa pimpinan Umno mendesak pemilihan parti disegerakan bagi berdepan pilihan raya akan datang.
Perhimpunan Agung Umno yang diadakan Mac lalu. Beberapa pimpinan Umno mendesak pemilihan parti disegerakan bagi berdepan pilihan raya akan datang.

Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini memutuskan untuk menghantar surat kepada ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan ketua pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mendapatkan garis panduan bagi pelaksanaan pemilihan Umno tahun ini.

Dalam satu kenyataan, MT Umno berkata tindakan ini adalah untuk memastikan proses pemilihan yang turut melibatkan mesyuarat perwakilan Umno termasuk sayap-sayap wanita, pemuda dan puteri parti itu dapat diadakan dengan lancar.

Keputusan tersebut juga diambil agar pemilihan parti itu mematuhi garis panduan SOP kesihatan bagi Covid-19 yang kini menyaksikan peningkatan jangkitan baru di seluruh negara.

Sementara itu, Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin mengesahkan tarikh pemilihan parti sudah diputuskan dalam mesyuarat MT Umno.

Bagaimanapun, ketika ditanya, Moktar tidak memberikan butiran tarikh pemilihan yang bakal diadakan kepada pemberita selepas mesyuarat hari ini.

“Pemilihan ada (dibincangkan) sedikit tapi biasa sahaja. Tak ada apa-apa.

“Sudah ada tarikh,” katanya kepada media.

Mesyuarat tertinggi itu dihadiri oleh Presiden Umno Zahid Hamidi, Setiausaha Agung Ahmad Maslan, Khaled Nordin, Azalina Othman Said dan beberapa ahli MT yang lain.

Namun, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan tidak menghadiri mesyuarat yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC) itu hari ini.