- Iklan -
Berita

Zahid pecat Shahidan Kassim sebagai pengerusi Umno Perlis

Shahidan Kassim dilihat sebagai pemimpin Umno yang cenderung untuk Umno meneruskan kerjasama politik bersama Perikatan Nasional.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Shahidan Kassim tidak bimbang jika tindakan diambil terhadap Umno Perlis di bawah pimpinannya.
Shahidan Kassim tidak bimbang jika tindakan diambil terhadap Umno Perlis di bawah pimpinannya.

Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan pemecatan Shahidan Kassim sebagai pengerusi badan perhubungan Umno Perlis ketika ura-ura mengenainya hangat diperdebatkan, selepas dilihat sering berbeza pandangan dengan pimpinan tertinggi parti Melayu itu.

Presiden Umno itu turut mengumumkan Menteri Besar Perlis Azlan Man menggantikan ahli Parlimen Arau itu bagi jawatan tersebut berkuatkuasa hari ini.

“Adalah dimaklumkan bahawa jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Shahidan Kassim digantikan Azlan Man yang juga menteri Besar Perlis.

“Pertukaran ini berkuatkuasa mulai hari ini,” kata Zahid dalam satu kenyetaan hari ini.

Shahidan adalah antara pemimpin Umno yang lantang mengkritik kepimpinan pusat berhubung keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Sebelum ini, beliau turut berkata tidak bimbang jika tindakan diambil terhadap Umno Perlis di bawah pimpinannya.

“Kalau Perlis buat keputusan, mereka nak buang Perlis, maka buanglah,” katanya dalam program bual bicara bersama Talk, Now, program temu bual isu semasa yang diterbitkan MalaysiaNow bulan lalu.

Perhimpunan agung Umno yang berlangsung pada 27 Mac lalu turut menyaksikan Shahidan “diboo” perwakilan ketika memberikan ucapan gara-gara dilihat tidak sekata dengan Majlis Tertinggi Umno.

Umno kini berdepan pemberontakan beberapa pemimpinnya selepas sebuah klip video tersebar menunjukkan mereka mula mengkritik cara Zahid menguruskan perhimpunan agung parti tersebut.

Dalam satu klip dipercayai dirakamkan beberapa hari selepas perhimpunan agung Umno, naib presidennya, Ismail Sabri Yaakob turut dilihat menyerang Zahid berhubung ucapan penggulungannya.

Ismail menyifatkan perhimpunan pada Mac lalu adalah yang paling teruk pernah dihadiri beliau dan turut mempertikaikan ucapan presiden yang tidak menjelaskan hala tuju parti bagi berdepan pilihan raya akan datang.

Sebelum Shahidan, Annuar Musa juga adalah antara pemimpin Umno yang dipecat daripada jawatan tertinggi Barisan Nasional selepas dilihat tidak sehaluan dengan Zahid.