Sunday, May 16, 2021

Tiada lagi pelancong mengunjung, peniaga Pasar Seni rindu hari tanpa pandemik

Ada yang masih yakin untuk teruskan perniagaan namun lebih ramai anggap pandemik ranapkan segalanya.

Other News

Setahun yang lalu, pelancong memenuhi kawasan Pasar Seni di Kuala Lumpur, mereka berjalan-jalan, meneroka dan membeli-belah di ibu negara yang meriah dengan kesibukannya, dan ceria dengan dengan bunyian kehidupannya.

Peniaga-peniaga berdiri di gerai sambil memanggil orang yang lalu lalang menawarkan barangan yang dijual mereka di sekitar bangunan Central Market atau Pasar Seni – bangunan yang terkenal dengan nilai sejarah dan hasil kraftangan dengan harga yang berpatutan.

Namun pelancong sudah lama tidak kelihatan, dan peniaga Pasar Seni kini hanya ditemani rakan-rakan peniaga lain di bangunan kosong besar tanpa pengunjung itu.

Kedai-kedai di situ satu persatu ditutup, mereka terpaksa tunduk kepada cabaran kewangan akibat pandemik Covid-19.

Suasana sepi Pasar Seni tanpa pengunjung dan kedai-kedai ditutup.

Pengurus sebuah kedai di Pasar Seni, Andy kerkata perniagaannya telah menjunam 90% sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) diumumkan pada Mac tahun lalu.

Andy yang menjual hadiah, cenderahati, dan perhiasan timah, memang mengharapkan pelancong asing yang ketika hampir tidak ada sejak sempadan negara ditutup awal tahun lalu dalam usaha mengekang penularan virus.

Sebelum pandemik, Andy mampu memperolehi sekurang-kurangnya RM800 sehari. Pada hujung minggu pula, jumlah itu boleh mencecah RM2,000.

Namun dengan kekurangan pelancong, Andy terpaksa berjuang untuk bertahan bagi menempuh hari-hari mendatang.

“Sekarang, empat hari buka kedai pun belum tentu ada jualan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Menurut Andy, ketika ini pelanggannya terdiri daripada penduduk tempatan yang sudah lama tidak berkunjung ke bangunan itu.

“Mereka datang kerana nostalgia,” katanya.

Bangunan Pasar Seni memiliki nilai sejarah yang panjang di Kuala Lumpur.

Andy juga menambah, dia terpaksa memberhentikan pekerja kerana tidak lagi mampu membayar gaji mereka.

Seorang lagi peniaga, Rosnah, menghabiskan harinya hanya dengan duduk di hadapan kedai yang terletak di Lorong Melayu.

Kedai menjual cenderamata menampilkan mercu tanda tempatan itu dilihat menyerlah di tengah banyak kedai yang tertutup di sekelilingnya.

Katanya, Ketika PKP dilonggarkan dan kawasan pelancongan dibenarkan beroperasi semula, dia berharap perniagaan akan mula berubah dengan penambahan jualan.

Sebaliknya, dia masih merasa sukar untuk terus bertahan, walaupun jumlah sewa dikurangkan pihak pengurusan bangunan.

“Saya tidak dapat apa-apa sekarang,” katanya.

“Walaupun sewa dikurangkan, perniagaan saya masih bergelut.”

Seperti Andy, dia terpaksa melepaskan pekerja kerana wang yang dihasilkan kedainya tidak cukup untuk membayar gaji walaupun untuk dirinya sendiri.

“Saya terpaksa mengeluarkan simpanan saya untuk bayar sewa,” tambahnya.

Selepas penurunan pelancong asing, Rosnah berusaha menjual lebih banyak produk tempatan dengan harapan dapat menarik penduduk Malaysia ke kedainya.

Strategi itu bagaimanapun tidak berjaya.

“Selagi sempadan ditutup, masalah kita akan berlanjutan,” katanya.

“Walaupun saya jual produk tempatan, saya hanya dapat jualan paling banyak, RM20 sehari.”

Hampir setiap peniaga di Pasar Seni yang ditemui MalaysiaNow menceritakan kisah yang sama.

Termasuk Nita yang sudah berniaga di Lorong Cina sejak lima tahun lalu.

Kosong dan sepi, begitulah Pasar Seni ketika ini berbanding sebelum pandemik.

Menurutnya, Pasar Seni semakin sepi ketika bulan puasa kerana penduduk tempatan hanya keluar membeli makanan, bukan cenderahati.

Nita pernah mengendalikan tiga kedai dengan dua rakannya. Kedua-dua mereka sudah pun berputus asa ketika ini.

Mereka hanya mampu mendapat pelanggan sekali dalam empat hari jika bernasib baik. Kini, salah satu kedainya ditutup dan Nita berusaha untuk menguruskan dua lagi kedainya.

“Ketika kami uruskan tiga kedai, kami dapat hasilkan RM50,000 sebulan,” katanya.

“Namun pada masa ini, kami sampai pada tahap kaunter tunai pun seminggu tak dibuka.”

Sekiranya wabak itu berlanjutan selama setahun lagi, Nita berkata kedai-kedainya yang lain juga akan turut gulung tikar.

“Perniagaan kami hampir tidak dapat bertahan sekarang. Jika pandemik berlanjutan, saya katakan kami tak akan dapat bertahan.”

Beberapa peniaga lain seperti Andy bagaimanapun masih optimis.

Walaupun jualannya tidak memuaskan, dia berkata wabak itu bukan alasan untuk menutup kedai. Dia memberitahu MalaysiaNow bahawa dia yakin peluang akan datang jika dia bersikap terbuka.

“Rasanya tidak ada akhirnya Covid-19 ini.

“Tetapi saya selalu percaya kita harus berdisiplin sehingga peluang datang kepada kita,” jelasnya.

Bagaimanapun, kesemua mereka bersetuju dengan Nita bahawa “Covid-19 benar-benar mengubah keadaan di sini.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles