- Iklan -
Berita

Rentas negeri kekal tak dibenarkan, kata menteri

Ini kerana ia menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19 di negara ini.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Anggota polis dari Balai Polis Daerah Shah Alam memasang papan tanda berhenti untuk melaksanakan Sekatan Jalan Raya (SJR) ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Plaza Tol Shah Alam. Gambar: Bernama
Anggota polis dari Balai Polis Daerah Shah Alam memasang papan tanda berhenti untuk melaksanakan Sekatan Jalan Raya (SJR) ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Plaza Tol Shah Alam. Gambar: Bernama

Kerajaan kekal tidak akan membenarkan pergerakan rentas negeri berikutan ia adalah salah satu penyebab peningkatan kes positif harian Covid-19 di negara ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu diputuskan oleh mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Covid-19 hari ini.

Katanya beliau sedia maklum keputusan ini sudah tentu tidak disukai rakyat, namun ia perlu diambil untuk menyekat penularan pandemik berkenaan.

“Di negara-negara lain tengok peningkatan kes yang berlaku. Di India kini rekodkan kes positif Covid-19 lebih 200,000 kes sehari melonjakkan angka positif keseluruhan melepasi 14 juta. Di ibu negara New Delhi puluhan hotel dan dewan perkahwinan ditukar menjadi pusat menempatkan pesakit Covid-19.

“Sudah pasti kita tidak mahu Malaysia jadi seperti itu. Jadi sekali lagi saya tekankan, supaya tingkatkan kawalan kendiri dan patuhi SOP, kita jaga kita,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) di Kuala Lumpur hari ini.

Ismail yang juga menteri pertahanan berkata sejak 20 Disember 2020 hingga 20 April lepas, 38 kluster rentas negeri melibatkan 5,471 kes secara keseluruhan direkodkan dengan bulan ini sahaja tujuh kluster rentas negeri membabitkan 423 kes dilaporkan.

Katanya kementerian kesihatan (KKM) juga pernah merekodkan kes kluster tertinggi iaitu Kluster Pasai dengan 2,693 kes, berpunca daripada seorang warga Sarawak yang balik ke kampung pada waktu Krismas sehingga Covid-19 menular ke seluruh Sarawak.

Menurutnya di Kelantan pula sejak 7 Disember tahun lepas, 10 kluster rentas negeri direkodkan dengan sebahagiannya masih aktif sehingga kini dan menjangkiti beberapa generasi.

“Kluster rentas negeri ini bukan sahaja mengakibatkan penularan jangkitan Covid-19 kepada kawasan zon hijau, malah aktiviti seperti pulang ke kampung menghadiri majlis-majlis sosial juga meningkatkan risiko jangkitan kepada golongan rentan seperti warga emas dan kanak-kanak,” katanya.

Ditanya sama ada Malaysia kini telah memasuki gelombang keempat penularan Covid-19, Ismail berkata negara masih berada di gelombang ketiga fasa dua.

Sementara itu, Ismail berkata 140 individu dikompaun manakala 19 lagi direman semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) dengan kesalahan tidak mendaftar masuk premis mencatatkan jumlah tertinggi melibatkan 62 individu, diikuti tidak memakai pelitup muka (39), tidak menjaga penjarakan fizikal (10) dan lain-lain (48).

Selain itu, katanya 56 pendatang tanpa izin ditahan dan 10 kenderaan darat dirampas dalam Op Benteng di seluruh negara semalam.