Wednesday, September 29, 2021

Pragmatik atau tidak tutup semua sekolah bendung Covid-19?

Kluster pendidikan yang meningkat naik melibatkan guru dan pelajar sekolah membimbangkan ibu bapa.

Other News

Apakah mungkin cadangan penutupan semua sekolah buat sementara waktu ketika ini menjadi wahana pragmatik dalam mengekang peningkatan penularan Covid-19 yang kini dilihat semakin membimbangkan di institusi pendidikan?

Ini antara persoalan yang semakin hangat diperkatakan masyarakat khususnya kalangan ibu bapa mahupun golongan akademik susulan daripada situasi semasa yang telah menyaksikan tercetusnya kluster pendidikan melibatkan guru dan pelajar sekolah sehingga menyebabkan beberapa sekolah ditutup.

Menurut Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dalam satu laporan media, sebanyak 83 kluster Covid-19 berkaitan sektor pendidikan telah dilaporkan di seluruh negara dari 1 Januari lepas sehingga 20 April melibatkan 4,868 kes.

Data Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) menunjukkan sebanyak 49 kluster atau 59.04% dengan 2,617 kes masih aktif, manakala 34 kluster (40.96%) dengan 2,251 kes telah diisytiharkan tamat.

Berdasarkan data tersebut yang dilihat berisiko, beberapa pihak termasuklah Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) telah menguarkan cadangan kepada kementerian pendidikan (KPM), kementerian kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menutup semua sekolah buat sementara waktu.

“Berdasarkan respons yang kami terima, majoriti ibu bapa tidak mahu menghantar anak mereka ke sekolah ketika ini kerana bimbang dijangkiti wabak berkenaan. Kebanyakannya, mengharapkan sekolah ditutup,” kata Presiden PIBGN Mohamad Ali Hasan ketika dihubungi Bernama.

Bagaimanapun, apakah penutupan sementara semua sekolah merupakan jalan terbaik? Apatah lagi, sekiranya penutupan sekolah ini betul-betul dilaksanakan, sudah pastilah kaedah sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) menjadi tunjang pilihan utama dalam memastikan proses pembelajaran berterusan.

Keadaan ini sebenarnya agak membimbangkan golongan akademik memandangkan hasil kajian sebelum ini mendapati PdPR telah menyebabkan ramai pelajar tercicir dalam pembelajaran.

Mengulas isu penutupan sekolah ini, Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Mohamed Fadzil Che Din menyifatkan cadangan tersebut bagi membendung jangkitan Covid-19 dalam kalangan guru dan pelajar, bukan satu penyelesaian terbaik buat masa ini.

Beliau berkata cadangan beberapa pihak termasuk PIBGN berhubung perkara itu juga disifatkan terlalu awal memandangkan ia akan mewujudkan pelbagai masalah termasuklah aspek pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan pelajar.

“Sebelum ini, ibu bapa yang tidak menghantar anak mereka ke sekolah adalah disebabkan mempunyai ketakutan dan kebimbangan melampau. Mereka takut sebab kurang maklumat berhubung kes itu sendiri. Adakah kes itu serius? Adakah Covid-19 ini akan mengancam nyawa dan mengganggu tumbesaran anak-anak mereka?

“Guru-guru pula untuk hadir ke sekolah atau tidak, bergantung kepada keadaan guru atau jawatan guru itu tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamed Fadzil berkata sekiranya penutupan sekolah dibuat dan digantikan dengan kaedah PdPR seperti yang diterapkan sebelum ini, ia dilihat akan mewujudkan keterbatasan dalam sesi pembelajaran pelajar.

“Apabila belajar di rumah, pelajar ini berhadapan ibu bapa yang tiada ilmu atau kemahiran mengajar. Mereka ini terkial-kial dan cuba mengajar yang mana kesannya akan menyebabkan mereka tertekan.

“Kerana itu pengajaran secara bersemuka diutamakan kerana guru-guru yang mengajar adalah terlatih dengan pengalaman mengajar yang luas dan menjadi satu kerugian jika tidak digunakan kelebihan profesionalisme guru itu sepenuhnya,” katanya,

Kerana itu, Mohamed Fadzil berpandangan tiada keperluan untuk menutup kesemua sekolah sekiranya jumlah mereka yang berisiko adalah rendah.

“Kalau kita lihat data KKM (Kementerian Kesihatan) dalam setiap 10 kelas hanya ada satu kelas yang tercemar, jadi tidak perlu nak tutup keseluruhan kelas di sekolah berkenaan.

“Kita juga boleh menggunakan pendekatan berkongsi sekolah. Contohnya, sekiranya sekolah A itu terjejas dan perlu ditutup untuk tujuan sanitasi, mungkin kita boleh gunakan sekolah B iaitu sekolah berhampiran untuk menumpangkan pelajar sekolah A, yang mereka ini boleh turut serta belajar,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Kepimpinan dan Polisi Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Azlin Norhaini Mansor berkata peningkatan kes jangkitan Covid-19 dijangka dapat dikurangkan sekiranya jumlah sekolah yang dibuka, dihadkan.

Jelasnya pilihan paling munasabah dalam menghadkan bilangan sekolah adalah dengan menutup sekolah menengah kerana mereka boleh mengikuti PdPR secara lebih berkesan berbanding murid sekolah rendah.

Azlin Norhaini berkata terdapat 7,780 sekolah rendah dan 2,440 sekolah menengah pada masa ini yang membabitkan anggaran 2.7 juta murid rendah dan 2 juta murid menengah.

Sekiranya PdPR dilaksanakan kembali, KPM katanya perlu menggunakan Buku Panduan PdPR 1.0 kerana ia lebih sesuai dengan jadual persekolahan secara dalam talian yang tidak terlalu membebankan guru serta membolehkan pelajar menguasai subjek yang diajar.

“Walaupun telah mendapat vaksin, belum tentu keadaan akan kembali seperti dahulu. Amalan memakai pelitup muka dan mencuci tangan serta pematuhan SOP dijangka kekal menjadi sebahagian daripada amalan hidup termasuk di sekolah,’’ katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles