- Iklan -
Berita

Anak Taib Mahmud ambil cuti beri laluan syarikat Sarawak disiasat

Cahya Mata Sarawak (CMS) menjamin pihaknya akan memberi kerjasama penuh dalam siasatan pihak berkuasa.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ibu pejabat Cahya Mata Sarawak di Kuching, Sarawak.
Ibu pejabat Cahya Mata Sarawak di Kuching, Sarawak.

Anak bekas ketua menteri Sarawak, Mahmud Abu Bekir Taib secara sukarela bercuti daripada jawatannya sebagai timbalan pengerusi syarikat Cahya Mata Sarawak (CMS) bagi membenarkan siasatan dijalankan berhubung beberapa tuduhan konflik kepentingan melibatkan beliau dan bekas ketua pegawai penerangannya, Khalid Abdullah.

Dalam sebuah kenyataan semalam, CMS berkata tuduhan itu diterima pihaknya melalui saluran pemberi maklumat kumpulan.

“Selepas menerima aduan, sebelum melaporkan kepada pihak berkuasa, ahli lembaga bertindak segera untuk melakukan penyiasatan penuh bagi melaksanakan tanggungjawab fidusiari melindungi kepentingan syarikat dan semua pihak yang berkepentingan,” katanya.

“Kami mohon semua pihak yang berkepentingan untuk membenarkan siasatan dilanjutkan dan sabar menunggu hasil keputusannya. Lembaga akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa dan turut meminta pihak pengurusan memberikan kerjasama penuh. ”

Mahmud Abu Bekir Taib Mahmud dilantik sebagai pengarah eksekutif kumpulan CMS pada tahun 1995 dan dilantik semula sebagai timbalan pengerusi kumpulan itu pada 2002.

CMS dalam kenyataannya memberi jaminan kepada pihak berkepentingan bahawa lembaga syarikat akan sentiasa mematuhi standard tertinggi dalam amalan tadbir urus korporat.

“Melangkah ke hadapan, lembaga syarikat juga akan terus mengemudi syarikat untuk mematuhi undang-undang dan meletakkan pihak yang berkepentingan dalam syarikat sebagai keutamaan.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Mahmud Abu Bekir Taib kerana secara sukarela mengambil cuti daripada semua jawatannya dalam kumpulan sebagai contoh tindakan tadbir urus korporat yang baik.”