Sunday, May 16, 2021

Pelaksanaan skim harga maksimum stabilkan semula harga ayam

Selepas KPDNHEP melaksanakan pemeriksaan besar-besaran hanya dua laporan aduan diterima berkaitan harga ayam dijual melebihi harga maksimum.

Other News

Harga ayam kembali stabil ekoran pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021, di seluruh negara yang bermula semalam.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, sebanyak 2,100 premis peruncit, pasar tani, kedai runcit, pemborong dan hypermarket, telah diperiksa semalam.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, hanya dua laporan aduan diterima berkaitan harga ayam dijual melebihi harga maksimum iaitu RM7.90 sekilogram.

“KPDNHEP faham hari ini hari pertama Skim Harga Maksimum, jadi perlu ada ubah suai di peringkat pemborong dan peruncit. Kita akan beri ruang sewajarnya untuk semua pihak mengambil masa untuk patuh Skim Harga Maksimum,” katanya pada satu sidang media.

Berhubung laporan keluhan peniaga ayam yang harga RM7.90 sekilogram seakan-akan membunuh mereka, Hasnol Zam Zam berkata SHMMP tidak membawa masalah kepada peniaga, kerana margin telah ditetapkan di setiap peringkat rantaian bekalan.

“Contohnya di peringkat ladang RM5.80, kemudian di peringkat pemborong ada harga yang telah ditetapkan mengikut kawasan. Jadi apabila diikut margin-margin yang telah ditetapkan itu, saya fikir tiada masalah.

“Mungkin sebelum ini bekalan yang dihantar kepada peruncit itu mengikut harga sebelum Skim Harga Maksimum berkuatkuasa. Apabila mula berkuatkuasa contoh pagi tadi tinjauan di Pasar Presint 8, didapati peniaga ayam menjual mengikut harga RM7.90 yang ditetapkan,” katanya.

Hasnol Zam Zam turut menasihati semua pihak, untuk patuh kepada Skim Harga Maksimum demi kebaikan bersama.

“Ia dapat memastikan bekalan ayam dan barangan terkawal berada di paras mencukupi, dan pada masa yang sama kestabilan dari segi harga yang bukan sahaja pengguna dapat menikmati harga munasabah, tetapi juga peniaga,” katanya.

Hasnol Zam Zam berkata, fasa pertama SHMMP Hari Raya Puasa melibatkan 12 jenis barangan terdiri daripada ayam, telur ayam, daging dan hasil laut, manakala kategori sayuran dan barangan kering akan diumumkan dalam masa terdekat.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles