- Iklan -
Berita

Pajakan tanah Convent Bukit Nanas dilanjut 60 tahun lagi

Ia dilanjutkan selepas dijadualkan tamat 6 September depan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Sekolah Convent Bukit Nanas memiliki sejarah yang panjang sejak 120 tahun lalu.
Sekolah Convent Bukit Nanas memiliki sejarah yang panjang sejak 120 tahun lalu.

Pajakan tanah bagi Sekolah Menengah Convent Bukit Nanas (CBN) yang bakal berakhir pada 6 September depan dilanjutkan 60 tahun lagi, kata Pejabat Perdana Menteri (PPM) hari ini.

“Setelah meneliti dan mengambil kira kepentingan sumbangan SMK Convent Buki Nanas kepada pendidikan negara sejak 1899.

“Kerajaan telah bersetuju supaya tempoh pegangan pajakan bagi SMK Convent Bukit Nanas yang terletak di Seksyen 49, Jalan Bukit Nanas, Kuala Lumpur dilanjutkan untuk tempoh 60 tahun,” kata sebuah kenyataan PPM hari ini.

Kenyataan itu turut menambah bahawa ketua setiausaha negara dan pengarah tanah dan galian Wilayah Persekutuan telah mengadakan pertemuan dengan Sr Theresa Chua Siu Yan, yang mewakili lembaga pengelola CBN bagi membincangkan perkara tersebut

“Kedua-dua pihak bersetuju dengan cadangan penyelesaian yang dibincangkan,” jelasnya

Dalam kenyataan yang sama, kerajaan berkata kebenaran lanjutan tersebut juga adalah khusus untuk tujuan pendidikan sahaja.

Laporan berita mengenai pajakan tanah CBN yang tidak akan diperbaharui menyebabkan kebimbangan ramai pihak jika sekiranya sekolah yang didirikan pada tahun 1899 akan dirobohkan.

Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Muhammad Yasir Yahya kemudian menjamin bahawa bangunan sekolah tersebut tidak akan dimusnahkan di samping turut menambah bahawa tanah tersebut akan diserahkan kepada pihak berkuasa bagi memastikan sekolah itu menerima bantuan penuh kerajaan.

Kenyataan hari ini sejajar dengan tuntutan ibu bapa pelajar sekolah itu yang mahu mengekalkan status quo operasinya.

Sebelum ini, mereka mempersoalkan sama ada CBN dapat mengekalkan standard yang telah dicapainya jika ia menjadi sekolah yang didanai sepenuhnya oleh kerajaan.