- Iklan -
Berita

‘Bukan sebab kita’, kata pakar berhubung Citi keluar dari pasaran perbankan negara

Pakar ekonomi berkata bank asing mulai bergerak untuk penyatuan operasi bagi memaksimumkan keuntungan.

Siva Selan
2 minit bacaan
Kongsi
Syarikat kewangan global Citigroup menumpukan perniagaan pengurusan kewangan selepas melihat peluang perniagaan runcit di Malaysia tidak begitu menguntungkan. Gambar: AP
Syarikat kewangan global Citigroup menumpukan perniagaan pengurusan kewangan selepas melihat peluang perniagaan runcit di Malaysia tidak begitu menguntungkan. Gambar: AP

Pakar meredakan kebimbangan berhubung keluarnya syarikat gergasi kewangan global Citigroup dari pasaran negara ini yang dikatakan cerminan terhadap kelemahan ekonomi di Malaysia, sedangkan hakikatnya, langkah itu menunjukkan trend global di mana bank-bank bergabung bagi memberi tumpuan kepada perniagaan pengurusan harta yang lebih menguntungkan.

Izlin Ismail, dari Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya, berkata langkah Citi sebenarnya adalah strategi penyatuan biasa digunakan oleh bank asing yang lain.

“Mereka hanya menumpukan pada bahagian perniagaan perbankan yang paling menguntungkan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Perbankan runcit jelas tidak menguntungkan mereka.”

Dalam pengumuman minggu lalu, Citi berkata akan meninggalkan Malaysia selain 12 pasaran perbankan pengguna yang lain sebagai sebahagian daripada pertukaran strategi begi mengembangkan operasi dalam pengurusan harta.

Ia juga berkata akan menumpukan srategi tersebut di “pusat-pusat kekayaan” di mana peluang untuk membesarkan operasi adalah lebih baik.

12 pasaran lain adalah Australia, Bahrain, China, India, Indonesia, Korea, Filipina, Poland, Rusia, Taiwan, Thailand dan Vietnam.

Ketua Pegawai Eksekutif Jane Fraser memberikan jaminan Citi akan meneruskan operasi francais perbankan penggunanya di Asia, Eropah, Timur Tengah dan Afrika yang diwakili Singapura, Hong Kong, UAE dan London.

Izlin berkata keluarnya Citi dari pasaran negara mencerminkan lebih dari sekadar keadaan ekonomi Malaysia.

“Malang sebetulnya jika bank seperti Citi menutup pintu sepenuhnya di Malaysia.

“Tetapi itu belum berlaku kerana mereka masih menjalankan perkhidmatan perbankan korporat mereka di sini,” tambahnya.

Ahli ekonomi Yeah Kim Leng bersetuju langkah itu mungkin merupakan sebahagian daripada penyusunan semula perniagaan global syarikat itu bagi membolehkan operasinya tertumpu kepada pengurusan harta.

“Memandangkan Malaysia pada umumnya dianggap sebagai pasaran yang terlalu banyak pesaing, keluarnya Citi dari segmen pasaran pengguna tidak akan mengganggu kapasiti institusi perantaraan simpanan-pelaburan dalam negara,” tambah Yeah yang merupakan pensyarah di Universiti Sunway.

Namun, beliau berkata keluarnya sebuah syarikat kewangan utama seperti Citi juga boleh menjadi tanda bahawa kepercayaan terhadap negara ini sudah hilang.

Yeah menambah Malaysia mungkin akan menyaksikan kehilangan peluang pekerjaan, pengurangan pilihan kepada pengguna, dan pengurangan pemain industri dalam bidang kewangan dan perbankan.

Izlin berkata, pemberhentian pekerja akan menimbulkan kebimbangan kerana kakitangan perbankan runcit tidak memiliki kemahiran yang boleh dibawa ke bank lain jika mereka dipecat.

“Mereka dilatih untuk sistem tertentu di bank mereka dan ia sangat berbeza daripada yang lain,” katanya.

“Jika mereka diberhentikan, bank lain mungkin tidak begitu berminat untuk mengambil mereka bekerja kerana terpaksa melatih mereka semula.”

Menurutnya, usaha lain yang boleh dilakukan ialah menempatkan semula kakitangan ke bidang perniagaan lain.

Sekiranya ini berlaku, kata Izlin, kesan terhadap pekerjaan kakitangan mungkin lebih kecil.

“Kita perlu lihat apa yang mereka tawarkan kepada staf: penempatan semula atau skim pemisahan sukarela (VSS).”

Keluarnya Citi dari Malaysia turut dilihat sebagai ketidakmampuan pihak syarikat untuk bersaing dengan bank-bank tempatan.

Namun Izlin berkata kemungkinan besar ia didorong pengurangan margin untung bagi produk perbankan runcit syarikat itu seperti kad kredit dan gadai janji kerana kadar faedah semakin rendah sejak beberapa tahun lalu.

“Saya tak fikir profil pelanggan Citi akan bersaing dengan bank tempatan. Mereka mempunyai profil pelanggan yang lebih baik dan cenderung untuk menarik pelanggan yang setia kerana jenama yang ia miliki,” katanya dan menambah perbankan korporat dan pengurusan kekayaan akan lebih menguntungkan bagi syarikat itu kerana mereka boleh mengenakan caj kepada pelanggan.