- Iklan -
Berita

Xavier dakwa tidak dimaklum berhubung permohonan baharui pajakan tanah CBN

Xavier berharap kerajaan akan memperbaharui pajakan tanah Sekolah Menengah Convent Bukit Nanas sekali gus melanjutkan kesemua bantuan kepada institusi tersebut.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi

Bekas menteri air, tanah dan sumber asli berkata beliau tidak pernah dimaklumkan mengenai permohonan Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nanas (CBN) untuk memperbaharui pajakan tanahnya, susulan pengumuman pihak berkuasa baru-baru ini bahawa pajakan tanah sekolah berusia 120 tahun itu tidak akan diperbaharui.

Xavier Jayakumar yang memegang portfolio hal ehwal tanah di bawah kerajaan Pakatan Harapan itu menambah jika lembaga pengarah sekolah (Lady Superior of the Society of Saint Maur) yang merupakan pemilik pajakannya, memaklumkan permohonan itu kepada beliau, ia akan diluluskan.

“Pandangan saya bagaimanapun, pajakannya harus dilanjutkan kerana ia adalah sekolah yang telah terbukti menerajui kecemerlangan dan telah banyak menyumbang khidmat kepada negara dari sudut pendidikan, selain sejarahnya yang panjang institusi berusia 122 tahun di bangunan ini,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Kenyataan tersebut muncul susulan Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan  Muhammad Yasir Yahya menjamin bahawa bangunan sekolah tersebut tidak akan dimusnahkan seperti yang dibimbangkan sebelum ini.

Namun lebih banyak persoalan muncul berhubung penjelasan beliau bahawa tanah tersebut akan diserahkan kepada pihak berkuasa bagi memastikan sekolah itu menerima bantuan penuh kerajaan.

Pajakan tanah selama 60 tahun sekolah itu tamat pada September tahun lalu.

MalaysiaNow difahamkan permohonan untuk ia dilanjutkan telah pun diserahkan kepada Pejabat Tanah pada 4 Oktober 2017, namun jawapan mengenainya hanya diteruma pada 18 Disember 2020 bagi memaklumkan pajakannya tidak akan diperbaharui semula.

Ekoran kecaman hebat terhadap keputusan tersebut, Yasir berkata Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan telah memindahkan pemilikan tanah itu kepada pesuruhjaya tanah persekutuan dengan menyatakan sekolah itu akan mendapat lebih banyak manfaat daripada langkah tersebut.

Namun pakar perancangan bandar Derek Fernandez mempersoalkan alasan yang dijelaskan Yasir selain turut mempertikaikan penglibatan Pejabat Tanah.

“Biasanya, pejabatan tanah dan lombong Wilayah Persekutuan tidak akan terlibat dalam terlibat dalam perbincangan awam seperti itu dan juga tidak membuat keputusan dasar sedemikian.

“Keputusan dasar seperti itu dibuat oleh Kabinet selepas mendapat input daripada menteri-menteri berkenaan kerana ia melibatkan peranan sekolah mubaligh di Malaysia,” tulisnya di MalaysiaNow hari ini.

Derek turut menggesa Yasir untuk menjelaskan sama ada beliau telah memaklumkan mengenai faedah-faedah yang akan sekolah itu perolehi jika ia serahkan tanah tersebut.

“Adakah surat seperti itu dikeluarkan atau adakah perbincangan dan mensyarat diadakan bagi menjelaskan situasi kepada sekolah berkenaan seperti yang dijangka akan dilakukan kerajaan berhuung reputasi sekolah berusia 120 tahun itu?” Tanya Derek.

Dalam pada itu, Xavier berkata beliau berharap kerajaan akan memperbaharui pajakan tanah sekolah tersebut sekali gus melanjutkan kesemua bantuan kewangan kepada sekolah itu.

Beliau turut menggesa jawatankuasa khas untuk membincangkan mengenai lanjutan pajakan tanah berhbung sekolah-sekolah mubaligh.

“Pada hemat saya, pajakan SMK CBN harus dilanjutkan dan bangunannya mesti dikekalkan sebagai tapak warisan kerana kewujudannya sejak sebelum tanah air kita merdeka dan ia perlu dilakukan dengan sokongan penuh kerajaan,” tambahnya.