- Iklan -
Berita

Saya tak terima permohonan rasmi dari Selangor, Khairy jawab dakwaan Anwar

Menurut Khairy, beliau memberikan respons positif kepada menteri besar Selangor berhubung pembelian vaksin untuk penduduk negeri itu dalam sebuah perbincangan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin hari ini berkata tidak ada permohonan rasmi dari kerajaan Selangor berkenaan pembelian dos vaksin yang dirancang negeri itu selepas Presiden PKR Anwar Ibrahim mendakwa kerajaan negeri itu perlu menunggu beberapa bulan untuk mendapatkan kelulusan daripada kerajaan.

Khairy yang juga merupakan menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata, beliau memberikan respons positif kepada menteri besar Selangor ketika perbincangan mengenai rancangan untuk mendapatkan vaksin bagi penduduk Selangor.

“Dalam perbincangan saya dengan YAB menteri besar Selangor, beliau ada sebut secara lisan perancangan Selangor untuk membeli vaksin. Saya memberi respons yang positif.

“Namun, sehingga kini saya belum menerima apa-apa permohonan rasmi dari pihak kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Anwar berkata kerajaan Selangor terpaksa menunggu berbulan-bulan untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan meskipun memperuntukkan dana sendiri bagi mendapatkan dua juta dos buat rakyat di negeri itu.

Khairy turut mengalu-alukan gesaan Anwar supaya siasatan bebas dilaksanakan di bawah Parlimen mengenai PICK dan dan perolehan vaksin dan menyatakan beliau sentiasa terbuka untuk disiasat.

Beliau turut mengingatkan Anwar bahawa kontrak-kontrak pembelian vaksin telah pun dibentangkan sepenuhnya kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen pada 5 Januari 2021 bersekali dengan jadual penghantaran dan harga yang dibayar.

Dalam pada itu, Khairy turut mempertahankan dirinya dengan mendedahkan bahawa Anwar tidak hadir semasa taklimat terperinci mengenai PICK diadakan kepada ahli Parlimen Pakatan Harapan.

“Berkenaan dengan tuntutan kedua YB ketua pembangkang yakni siasatan bebas dilakukan di bawah Parlimen terhadap PICK dan perolehan vaksin, saya sentiasa terbuka untuk disoal, dikritik dan disiasat.

“Saya juga telah mengadakan sesi libat urus bersama ahli-ahli Dewan Rakyat daripada pembangkang pada 19 Mac 2021 yang mana saya telah bentangkan secara panjang lebar pelaksanaan PICK termasuk menjawab pelbagai soalan secara terperinci.

“YB ketua pembangkang tidak hadir pada sesi tersebut,” jelasnya.