Tuesday, May 18, 2021

Peniaga terpaksa naikkan harga juadah akibat harga ayam melambung

Ada peniaga terpaksa naikkan harga, ada yang terpaksa menyerap kenaikan kos.

Other News

Kenaikan harga ayam mentah sejak akhir-akhir ini menyebabkan kesan riak terhadap peniaga bazar Ramadan sehingga mereka terpaksa menaikkan harga juadah yang dijual bagi memperolehi keuntungan jualan.

Seorang peniaga nasi ayam berempah, Yulia Roslan berkata, harga terpaksa dinaikkan sebanyak 50 sen dari RM6.50 kepada RM7 sebungkus bagi menampung kenaikan harga bahan mentah itu.

“Harga ayam pada semalam masih lagi stabil, namun hari ini saya membeli tiga ekor ayam dengan harga hampir RM50. Ini tidak termasuk harga cili yang juga naik,” katanya ketika ditemui MalaysiaNow di gerainya di Seksyen 27, Shah Alam di Selangor baru-baru ini.

Yulia berkata kenaikan itu dilakukan dengan berat hati memandangkan tidak semua pelanggan akan memahami.

Sejak Ramadan minggu lalu, Yulia menjual kira-kira 24 bungkus nasi ayam berempah setiap hari.

Kenaikan harga ayam sejak bermula Ramadan menimbulkan kemarahan pengguna media sosial.

Sebagai respons, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi berkata, harga ayam meningkat disebabkan peningkatan kos makanan ternakan ayam yang diimport.

Bagaimanapun katanya, kementerian perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna (KPDNHEP) akan mengadakan beberapa sesi libat urus dengan pemilik ladang ayam besar di negara ini, serta perbincangan dengan kementerian pertanian dan industri makanan (Mafi), bagi membolehkan penetapan harga ayam standard dilaksanakan.

Turut terkesan dengan kenaikan harga ayam ialah Rizal Mohd yang menjual nasi berlauk di bazar Ramadan Alam Megah di Shah Alam.

Namun, dia mengambil keputusan untuk menyerap kos kenaikan itu bagi mengekalkan harga set nasi berlauk yang dijual pada harga RM8.

“Saya terpaksa kekalkan harga kerana tidak mahu pelanggan tetap lari. Mereka pasti tanya mengapa harga dinaikkan secara tiba-tiba,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Bukan harga ayam sahaja naik, harga timun juga naik sekali ganda daripada RM2.50 kepada RM5 sekilo”.

Rizal mula berniaga di bazar Ramadan itu kira-kira setahun lalu.

Namun tidak semua menu berasaskan ayam yang dijual bakal mengalami kenaikan harga.

Ini kerana, peniaga yang membeli ayam secara pukal dapat membelinya pada harga yang lebih murah.

Seorang peniaga ayam golek di Putra Heights di Subang Jaya, Siti Zaleha Harun berkata, dia membeli antara 50 ke 100 ekor ayam sehari daripada pengeluar ayam berhampiran.

“Saya dapat membeli ayam pada harga antara RM7.90 ke RM8.90 seekor, bergantung kepada kuantiti yang dibeli pada hari itu.

“Oleh sebab itu, saya dapat mengekalkan harga ayam golek kerana tidak terkesan dengan kenaikan di pasar-pasar,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles