- Iklan -
Berita

Jangan libat kami dalam pertengkaran DAP, PAS, kata GPS

GPS menjauhkan diri dari terlibat dalam pertengkaran mengenai sempadan pilihan raya yang didakwa PAS tidak adil bagi negeri-negeri yang didominasi Melayu.

Nur Shazreena Ali
1 minit bacaan
Kongsi
Naib Presiden PBB Abdul Karim Rahman Hamzah. Gambar: Bernama
Naib Presiden PBB Abdul Karim Rahman Hamzah. Gambar: Bernama

DAP dan PAS diingatkan supaya tidak melibatkan GPS di dalam pertengkaran mereka selepas Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menuduh gabungan parti politik itu mengkhianati rakyat Sarawak kerana mendukung Perikatan Nasional (PN) yang turut menjalin kerjasama dengan parti islamis tersebut.

“DAP dan PAS pernah sekatil dalam Pakatan Rakyat dan mereka sepatutnya kenal baik antara sesama mereka,” kata Abdul Karim Rahman Hamzah yang merupakan naib presiden PBB kepada MalaysiaNow.

“Jangan libatkan GPS dan parti-parti Borneo dalam pertengkaran anda.”

Karim berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Lim yang berkata GPS bersama parti-parti bukan Melayu seperti MCA dan MIC harus dipertanggungjawabkan dalam apa-apa usaha untuk mengubah sempadan pilihan raya mengikut keuntungan kaum dan agama.

Pertelingkahan antara dua parti itu dilatari kenyataan pemimpin PAS yang menganggap persempadanan pilihan raya ketika ini tidak adil bagi negeri-negeri yang didominasi kaum Melayu berdasarkan jumlah kerusi Parlimen yang mewakili Kelantan, Terengganu, Kedah dan Pahang.

Ahli Parlimen PAS Khairuddin Aman Razali turut mencadangkan persempadanan semula supaya negeri-negeri tersebut diwakili dengan lebih baik di Dewan Rakyat.

Lim dilaporkan turut berkata cadangan tersebut bersifat aparteid dan menafikan hak orang bukan Islam.

Karim yang juga merupakan menteri pelancongan Sarawak menolak untuk terlibat dalam pertikaman lidah tersebut dan berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai kaedah sendiri dalam menentukan persempadanan pilihan raya.

“Tak akan ada pandangan terpencil daripada pemimpin PAS yang boleh ubah hakikat itu, dan Guan Eng tak perlu merendahkan dirinya untuk berdebat isu yang dia pun tahu terpencil dan tidak mewakili seluruh rakyat Malaysia,” tambahnya.