- Iklan -
Berita

Vaksinasi barisan hadapan dijangka selesai hujung April

Sebahagian besar petugas barisan hadapan telah menerima vaksin lengkap, manakala bakinya sedang menunggu untuk melengkapkan suntikan dos kedua.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama
Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama

Sekurang-kurangnya 95% daripada sejumlah 571,000 petugas barisan hadapan telah menerima dos pertama vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Fasa Pertama.

Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin berkata pihaknya menjangka pemberian suntikan vaksin petugas barisan hadapan akan selesai pada hujung bulan ini.

Katanya di Melaka sendiri sebahagian besar petugas barisan hadapan telah menerima suntikan vaksin yang lengkap, manakala bakinya sedang menunggu untuk melengkapkan suntikan dos kedua.

Beliau berkata demikian ketika meninjau PICK Fasa Kedua yang turut dihadiri Exco Kesihatan dan Antidadah Rahmad Mariman dan Pengarah Jabatan Kesihatan Melaka Dri Ismail Ali di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Tun Ali di Bukit Katil hari ini.

Khairy yang juga Menteri Sains, Tekonologi dan Inovasi berkata 84% atau 528 daripada 540 dos vaksin berjaya diberikan pada hari pertama PICK Fasa Kedua di Melaka, semalam.

Beliau berkata 16% individu di bawah Fasa Kedua berkenaan tidak hadir atas pelbagai sebab dan pihaknya akan memperincikan perkara berkenaan selepas ini.

Khairy berkata sepatutnya kehadiran penerima suntikan vaksin Fasa Kedua pada hari pertama semalam antara 95 hingga 100% namun pihaknya berpuas hati dengan kehadiran 84% sekali gus menunjukkan orang ramai yakin dengan vaksin yang diberi kerajaan.

“Kita juga minta supaya tiada pembaziran di PPV… kalau mereka yang diberi janji temu tak hadir, peraturan dia adalah tak bazir vaksin dan beri kepada siapa-siapa yang rela untuk terima vaksin,” katanya.