- Iklan -
Berita

Microsoft bakal bina pusat data serantau pertama di Malaysia

Inisiatif melibatkan sektor awam dan swasta itu akan melibatkan sekurang-kurangnya sejuta warga Malaysia.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pusat-pusat data serantau dijangka mencipta 19,000 peluang pekerjaan termasuk 4,000 pekerjaan dalam bidang berkaitan IT dalam kalangan pengguna 'cloud' Microsoft. Gambar: AFP
Pusat-pusat data serantau dijangka mencipta 19,000 peluang pekerjaan termasuk 4,000 pekerjaan dalam bidang berkaitan IT dalam kalangan pengguna 'cloud' Microsoft. Gambar: AFP

Syarikat Microsoft hari ini mengumumkan pembinaan pusat data serantaunya yang pertama di Malaysia sebagai sebahagian daripada inisiatif “Bersama Malaysia” bagi memperkasa ekonomi digital dan transformasi kemajuan digital yang inklusif melibatkan sektor awam dan swasta.

Rantau yang terlibat dalam inisiatif tersebut adalah kawasan Kuala Lumpur dengan penyediaan capaian kepada kemudahan Microsoft Cloud serba lengkap termasuk: Microsoft Azure, Microsoft 365, Dynamics 365 dan Power Platform.

Syarikat komputer gergasi itu turut mengumumkan perancangan yang menyasarkan sejuta warga Malaysia untuk dipersiapkan kemahiran digital di akhir 2023 bagi mencipta peluang ekonomi rakyat dan perniagaan di era digital.

“Kami juga berkongsi komitmen kerajaan untuk memastikan transformasi digital dapat dilaksanakan secara terangkum dan bertanggungjawab. Oleh yang demikian, kami berikrar untuk memperkasakan seramai 1 juta rakyat Malaysia dengan kemahiran digital, membantu mereka memanfaatkan peluang yang muncul daripada pelaburan baharu ini.

“Pusat data serantau yang bakal dibina akan menjadi pencetus perubahan bagi Malaysia, membolehkan kerajaan dan perniagaan untuk menyusun semula dan merombak operasi mereka, demi manfaat semua lapisan rakyat,” kata Jean-Philippe Courtois, naib presiden eksekutif dan presiden jualan, pemasaran dan operasi Microsoft dalam sebuah kenyataan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin turut mengalu-alukan komitmen Microsoft untuk memperkasakan ekonomi digital dan berkata inisiatif “Bersama Malaysia” akan memakan belanja sekurang-kurangnya AS$1 bilion atau RM4 bilion bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Seperti apa yang saya fahami, menurut International Data Corporation, kesan riak pelaburan wilayah pusat data hari ini dapat diterjemahkan kepada AS$6.9 (RM28.3) pendapatan yang dijana dalam ekosistem ‘cloud’ tempatan bagi setiap AS$1 (RM4.2) pendapatan ‘cloud’ Microsoft Malaysia menjelang 2024,” katanya dalam ucap tama pelancaran inisiatif itu hari ini.

Beliau turut menambah pusat-pusat data serantau dijangka mencipta 19,000 peluang pekerjaan termasuk 4,000 pekerjaan dalam bidang berkaitan IT dalam kalangan pengguna ‘cloud’ Microsoft.

“Malaysia sepenuhnya ingin kekal menjadi barisan hadapan dalam kemajuan teknologi menggunakan data bagi menyediakan perkhidmatan yang ditambah baik bagi perniagaan, selain meningkatkan pengeluaran dan memangkin daya saing,” katanya.