- Iklan -
Berita

Gunakan darurat untuk laksana reformasi sistem sosial, kata pakar ekonomi

Perintah darurat memberikan peluang kepada kerajaan untuk melaksanakan reformasi dalam negara.

Farhira Farudin
1 minit bacaan
Kongsi
Perintah darurat diisytiharkan pada Januari lalu dijangka tamat pada Ogos depan.
Perintah darurat diisytiharkan pada Januari lalu dijangka tamat pada Ogos depan.

Pakar ekonomi hari ini mendesak kerajaan untuk menggunakan tempoh darurat ketika ini bagi melaksanakan reformasi radikal dalam sistem sosial negara.

Muhammed Abdul Khalid dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata perintah darurat yang diisytiharkan pada Januari tidak semestinya menjejaskan ekonomi negara jika kerajaan memiliki kepakaran yang diperlukan bagi menambah baik pentadbiran.

Beliau turut berkata perintah darurat hanya akan dibazirkan jika peluang untuk menjalankan reformasi dalam sistem sosial tidak dilaksanakan seperti reformasi sistem pendidikan negara.

“Kita dalam keadaan yang buruk. Sudah masanya untuk laksanakan reform yang drastik dan komprehensif,” kata beliau dalam sebuah sidang media yang dianjurkan jawatankuasa Tamat Darurat, satu organisasi pendesak yang dipimpin Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad bagi menamatkan tempoh darurat dalam negara.

“Ini peluang untuk baiki sistem sosial ketika ini”

Sidang media tersebut dianjurkan bagi memberikan maklumat bagaimana perintah darurat menjejaskan prestasi ekonomi negara.

Pakar ekonomi Jomo Kwame Sundaram berkata ekonomi mampu untuk pulih semula tahun ini jika pandemik tidak dimanipulasi kerajaan bagi faedah politik.

Beliau menambah unjuran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) oleh Bank Negara Malaysia tidak lagi bermakna berdasarkan keadaan ekonomi ketika ini.

Bank Negara sebelum ini meramal ekonomi negara masih berada dalam landasannya menuju pemulihan dengan peningkatan KDNK antara 6% dan 7.5%.

Ramalan tersebut diunjurkan walaupun KDNK negara menguncup sebanyak 5.6% pada 2020 .

“Sudah jelas ramalan pada November untuk belanjawan (negara) sudah tidak laku lagi,” kata Sundaram.

“(Hal) itu bukan salah kementerian kewangan (MOF), ia adalah kerana keadaan permainan politik dan sebagainya.”