- Iklan -
Berita

Covid-19, pemulihan ekonomi keutamaan kerajaan, bukan PRU15, kata Azmin

Azmin berkata, Parlimen akan kembali bersidang selepas kerajaan berjaya mengawal situasi Covid-19 dengan lebih efektif.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali. Gambar: Bernama
Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali. Gambar: Bernama

Pilihan Raya ke-15 (PRU-15) bukan menjadi pertimbangan kerajaan pada waktu ini, sebaliknya segala usaha untuk menangani penularan Covid-19 dan memulihkan ekonomi, kata Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali.

Azmin berkata, pertimbangan kerajaan dilakukan berdasarkan data dan sains.

“Kementerian kesihatan menyatakan kemungkinan suku ketiga tahun ini, keadaan akan lebih terkawal ekoran program imunisasi,” katanya kepada pemberita hari ini.

“Apabila lebih ramai dapat disuntik, kemungkinan penularan lebih terkawal. Mungkin kita dapat tamatkan darurat pada 1 Ogos.”

Beliau ditemui selepas solat tarawih di Batu Caves, Gombak bersama Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini, mengulas tindakan sesetengah pihak membantah darurat.

Azmin berkata, meskipun tidak menafikan hak mereka untuk menghantar petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong, namun kerajaan mewujudkan jawatankuasa khas bebas darurat untuk pihak pembangkang menyuarakan syor mereka.

“Mereka patut gunakan jawatankuasa ini kerana ia tidak dipengaruhi pihak eksekutif. Beri maklum balas terus kepada Agong sama ada perlu tamat pada 1 Ogos atau sebaliknya. Jangan terlalu bermain emosi atau politik melampau,” katanya yang juga Parlimen Gombak.

Jawatankuasa Tamat Darurat akan menghantar surat kedua kepada Agong di Istana Negara esok untuk menuntut darurat ditamatkan.

Turut dijemput menyertai rombongan ialah bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Azmin berkata, Parlimen akan kembali bersidang selepas kerajaan berjaya mengawal situasi Covid-19 dengan lebih efektif.

“Kebimbangan kita ialah adanya varian-varian baru.

“Apakah varian ini akan menjadi punca gelombang keeempat, kita tidak tahu. Kita tak mahu berulang gelombang penularan sehingga terpaksa mengambil langkah-langkah yang lebih drastik,” katanya.

Azmin turut melahirkan keyakinan majoriti rakyat memahami kewajaran pengisytiharan darurat yang dilaksanakan kerajaan.