- Iklan -
Berita

Suami, anak bekas gabenor Bank Negara dipanggil polis

Mereka disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Skandal 1MDB masih menjadi tajuk utama negara dan perbicaraan mereka yang terlibat sedang berlangsung di mahkamah. Gambar: AP
Skandal 1MDB masih menjadi tajuk utama negara dan perbicaraan mereka yang terlibat sedang berlangsung di mahkamah. Gambar: AP

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah mengambil keterangan terhadap suami bekas gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz iaitu Tawfiq Ayman bagi membantu siasatan terhadap dakwaan penerimaan dana dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Zainuddin Yaacob dalam kenyataan turut mengesahkan seorang anak lelaki Tawfiq juga hadir merakamkan percakapan kepada PDRM.

“Beliau (Tawfiq) dipanggil untuk dirakam percakapan (selama beberapa jam) bersama anak lelaki beliau (dipanggil) bagi membantu siasatan polis.

“Rakaman percakapan telah diambil di Menara KPJ, Jalan Tun Razak bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya kepada Bernama.

Zainuddin berkata memandangkan siasatan polis dalam kes ini masih berterusan, polis menasihatkan masyarakat untuk tidak membuat sebarang spekulasi melalui mana-mana platform sehingga siasatan selesai dijalankan dan seterusnya dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk keputusan.

Pada bulan lepas, Bernama melaporkan PDRM mengesahkan bahawa siasatan terhadap Tawfiq berhubung dakwaan penerimaan dana yang dikaitkan dengan 1MDB dalam akaun bank miliknya di Singapura masih berjalan.

Sebelum ini, Zeti dilaporkan menafikan dakwaan bahawa keluarganya terbabit dalam skandal 1MDB.

Zainuddin dilaporkan berkata memandangkan siasatan kes ini melibatkan keterangan di Malaysia dan juga di luar negara, PDRM mengambil tindakan susulan di bawah Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002 bagi mendapatkan keterangan yang berada di luar negara.