Wednesday, October 20, 2021

Pesalah darurat dihukum penjara dibenar jalani khidmat masyarakat

Pesalah yang menghadapi hukuman penjara tiga tahun, kini layak untuk melakukan khidmat masyarakat.

Other News

Bermula hari ini, pesalah yang menghadapi hukuman penjara tiga tahun, layak untuk melakukan khidmat masyarakat, menurut Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (Pindaan) 2021.

Sebelum ini, mereka yang menghadapi hukuman penjara hingga tiga bulan, memenuhi syarat untuk melakukan khidmat masyarakat.

Menurut Warta Kerajaan mengenai Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (Pindaan) 2021 yang diterbitkan Jabatan Peguam Negara, ia memperkenalkan pindaan kepada Seksyen 5 Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954 yang menyatakan mahkamah boleh, selain hukuman atau komital berkenaan, membuat perintah kehadiran wajib yang menghendaki seseorang hadir setiap hari di pusat yang mereka harus melakukan kerja wajib selama tempoh tidak lebih 12 bulan dan tidak lebih empat jam setiap hari.

Mahkamah harus mempertimbangkan karakter individu terbabit, sifat dan keseriusan kesalahan dan semua keadaan lain yang berkaitan.

Sementara itu, menurut Seksyen 5A akta sama menyatakan ketua pengarah boleh, secara bertulis, memberi arahan untuk memindahkan mana-mana pesalah yang dikehendaki di bawah perintah kehadiran wajib untuk hadir setiap hari dari satu pusat ke pusat lain, atas permohonan yang dibuat pesalah atau sekiranya ketua pengarah merasakan perlu untuk melakukannya.

Ordinan itu diisytiharkan setelah Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa tindakan serta-merta adalah dikehendaki untuk menjamin dan memelihara keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam.

Pada 12 Januari lepas, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan hingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles