- Iklan -
Berita

Pendirian anti-pelarian KDN mungkin jejaskan kempen Wisma Putra anggotai UNHRC

Dasar-dasar dalam negeri Malaysia perlu seiring dengan aspirasi dasar diplomatik luar negara selain meneruskan dasar-dasar kemanusiaan terhadap pelarian.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Nasib pelarian Rohingya di Malaysia masih tidak menentu dengan dasar ketika ini yang tidak mengiktiraf kad pengenalan UNHCR. Gambar: AP
Nasib pelarian Rohingya di Malaysia masih tidak menentu dengan dasar ketika ini yang tidak mengiktiraf kad pengenalan UNHCR. Gambar: AP

MalaysiaNow difahamkan, aktivis hak asasi melahirkan rasa tidak selesa terhadap “naratif semakin membimbangkan” daripada pegawai kanan imigresen dan kementerian dalam negeri (KDN) berhubung pengurusan pelarian di negara ini, selain sumber diplomatik turut berkata ia akan menjadikan Putrajaya dalam kedudukan berkonfrontasi secara langsung dengan UNHCR, sayap pengurusan pelarian PBB.

Ini berlaku selepas spekulasi yang beredar ketika ini mendakwa wujud pengusiran pelarian secara besar-besaran sedang dilaksanakan, sebagai sebahagian daripada usaha KDN memastikan tiada lagi pendatang tanpa izin yang turut dilihat menjejaskan puluhan ribu pelarian Rohingya dan kumpulan lain yang melarikan diri dari keganasan di Myanmar.

MalaysiaNow turut difahamkan apa-apa rancangan baru berhubung langkah anti-pelarian tersebut tidak akan menguntungkan kementerian luar negeri yang berada di bawah pimpinan Hishammuddin Hussein dalam usahanya membina hubungan baik dengan UNHRC selepas negara berdepan persepsi negatif khalayak antarabangsa berkait layanannya terhadap pendatang asing.

Selain imej yang tercalar di peringkat antarabangsa, wujud kekhuatiran Putrajaya akan menarik semula komitmennya dalam usaha melindungi hak-hak pelarian seterusnya memberikan tamparan hebat terhadap dasar diplomatik negara.

Ia juga akan turut menjejaskan kempen Malaysia untuk dipilih sebagai anggota Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC).

Pada awal 2019, Malaysia mengumumkan usahanya untuk menganggotai majlis antarabangsa tersebut selepas menteri luar negeri sebelum ini, Saifuddin Abdullah menyatakan komitmen kerajaan dalam memperjuangkan nasib pelarian Rohingya.

Pada Februari 2019, Saifuddin menyatakan keinginan Malaysia tersebut dalam sebuah mesyuarat UNHRC di Geneva bahawa Malaysia komited ingin menghantar semula pelarian Rohingya dengan cara sukarela dan “bermaruah”.

Hal tersebut dinyatakan bagi menghentikan amalan lama kerajaan yang mengkategorikan pelarian sama seperti pendatang asing tanpa dokumen yang lain, dan seterusnya dihantar pulang ke negara asal mereka.

Pada Disember tahun lalu, Hishammuddin secara rasmi mengumumkan usaha Malaysia untuk menganggotai kerusi UNHRC bagi penggal 2022-2024.

Malaysia pertama kali dipilih menganggotai majlis itu pada 2006 namun keanggotaannya tidak disambung selepas 2013.

Bagaimanapun, kenyataan-kenyataan terbaru Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin mungkin akan menyukarkan Malaysia untuk kembali menjadi anggota majlis tersebut.

“Dia kritik UNHCR dan berulang kali bercakap mengenai pengusiran pelarian walaupun tahu tindakan itu sama seperti menghantar mereka untuk dibunuh,” kata sumber kepada MalaysiaNow.

Pada Rabu lalu, ketika acara buka puasa yang diadakan KDN bersama wartawan, Hamzah dilaporkan menyerang UNHCR mendakwa badan tersebut tidak membantu Malaysia dalam usaha menghantar pulang pelarian ke negara mereka.

“Pada satu masa, semasa perang Vietnam, ramai pelarian larikan diri, jadi kita terpaksa gunakan khidmat UNHCR untuk bantu hantar mereka ke negara-negara ketiga.

“Hari ini, terdapat hampir 200,000 pelarian, tak seorang pun daripada pelarian itu diambil UNHCR untuk dihantar ke negara ketiga,” kata Hamzah.

Ketika dihubungi, seorang sumber di UNHCR mempersoalkan dakwaan tersebut, mengatakan UNHCR bekerjasama dengan pihak berkuasa dan berjaya menghantar ramai pelarian di negara-negara ketiga.

Pejabat UNHCR di Malaysia turut mengeluarkan kad pengenalan kepada pelarian Rohingya di Malaysia bagi membezakan golongan itu dengan pendatang asing lain.

Namun, ekoran pendirian rasmi Malaysia untuk tidak mengiktiraf pelarian, ia tidak dapat menghalang pelarian daripada ditahan sewaktu operasi imigresen dilaksanakan.

Layanan Malaysia terhadap pelarian dan pendatang asing kembali menjadi perhatian utama ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan tahun lalu.

Hal ini terjadi selepas pekerja asing dan pelarian di Kuala Lumpur dilaporkan turut ditahan pegawai imigresen tahun lalu.

Penahanan tersebut tetap berlaku walaupun wujud jaminan rasmi kerajaan penguatkuasaan tidak akan dilakukan selama tempoh pandemik.

Susulan siri penahanan warga asing yang dilaksanakan imigresen, depoh tahanan yang menempatkan mereka menyaksikan peningkatan angka jangkitan dan bilangan kluster baru Covid-19.

Publisiti buruk tetap terpalit pada negara walaupun pihak berkuasa seperti kementerian wilayah persekutuan dan kementerian kesihatan membantu puluhan ribu pendatang, termasuk pelarian Rohingya, yang terkandas di beberapa bandar berikutan PKP dilaksanakan tahun lalu.

Kerajaan juga terpaksa memperuntukkan jutaan ringgit bagi memastikan bekalan asasi kepada ribuan pendatang asing tanpa dokumen yang terkandas di Kuala Lumpur, serta pekerja asing yang tidak dapat bekerja berikutan PKP.

Usaha kemanusiaan Malaysia juga dapat dilihat dalam program vaksinasi Covid-19 kebangsaan yang dijalankan secara besar-besaran.

Kerajaan bersetuju untuk menanggung kos vaksinasi jutaan warga asing di negara ini termasuk pendatang asing tanpa dokumen.

Namun, ketika ini, kritikan terhadap pihak berkuasa imigresen yang tidak menunjukkan sentimen yang serupa selain pendirian yang diambil KDN, seakan mengesahkan kebimbangan yang disuarakan aktivis dan badan hak asasi.

Awal tahun ini, pihak berkuasa juga turut mengusir lebih lebih dari 1,000 pendatang tanpa dokumen dari Myanmar.

Pengusiran tersebut tetap dilaksanakan walaupun aktivis hak asasi menggunakan peruntukan undang-undang bagi menghentikan langkah itu kerana bahaya yang bakal ditanggung pelarian selepas junta tentera Myanmar melakukan kudeta ke atas kerajaannya pada Februari lalu.

Minggu lalu, Hamzah turut dilaporkan menyelar NGO hak asasi yang mengkritik dasar-dasar kerajaan terhadap pelarian sehingga meminta mereka untuk menanggung kos pembiayaan para pelarian.

Dalam sebuah kenyataan hari ini NGO undang-undang LFL, berkata tindakan-tindakan diambil pihak berkuasa ketika ini menunjukkan peningkatan “dasar imigresen yang semakin regresif,” ia kemudian diteruskan dengan tindakan “tidak boleh diterima” terhadap pekerja asing sepanjang pandemik Covid-19 tahun lalu.

“Tak ada kesimpulan lain melainkan kerajaan sedang menggalakkan pelaksanaan xenophobia dalam dasar-dasarnya dan penguatkuasaan undang-undang yang mengabaikan terus kesan terhadap warga asing yang berada di Malaysia.

Koordinator LFL Zaid Malek dalam kenyataan yang sama turut mengingatkan langkah demikian “akan memberikan impak negatif terhadap imej Malaysia dan hubungan luar.”

Ketika dihubungi, sumber diplomatik juga memberitahu MalaysiaNow hala tuju KDN tidak selari dengan Wisma Putra.

“Kementerian mesti bezakan antara pelarian sebenar seperti Rohingya yang sudah disahkan UNHCR. Di bawah undang-undang antarabangsa, salah untuk usir mereka pulang,” katanya.

Sumber turut mengingatkan Hamzah tentang simpati yang pernah ditunjukkan beliau terhadap pelarian Rohingya ketika menjadi timbalan menteri luar sewaktu pentadbiran Barisan Nasional.

“Apa sudah jadi sekarang? Jika isu itu tentang pekerja asing tanpa dokumen, selesaikan masalah itu, dan jangan sasarkan pelarian lebih-lebih lagi mereka yang diiktiraf UNHCR,” kata sumber itu.

Ia juga menambah kerajaan Malaysia belum lagi menerima tawaran UNHCR untuk melatih pegawai imigresen berhubung pengesahan status pelarian, salah satu masalah digunakan pihak berkuasa yang ragu-ragu menerima kad pengenalan UNHCR.

“UNHCR sudah buka pintu terima pegawai imigresen untuk jalani kursus setahun bagi memahami pelaksanaan dan proses kad pengenalan tersebut. Nantinya, kita akan ada pangkalan data pelarian sendiri daripada hanya bergantung dengan UNHCR. Kita yang tak terima tawaran,” tambahnya.