- Iklan -
Berita

‘Saya adil ketika lantik menteri’, Dr Mahathir tolak dakwaan utamakan ‘orang Azmin’

Mahathir berkata perbezaan di antara kem Anwar dan Azmin tidak begitu ketara ketika proses pelantikan Kabinet Pakatan Harapan.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Dr Mahathir Mohamad berjalan kaki di anjung pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana.
Dr Mahathir Mohamad berjalan kaki di anjung pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak pernah mengabaikan senarai calon menteri dari PKR ketika melantik anggota Kabinet selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu sekali gus menjelaskan menteri-menteri dilantik berdasarkan merit mereka.

Mahathir berkata tidak benar dakwaan kononnya beliau mengenepikan pemimpin PKR yang cenderung kepada Anwar Ibrahim dan mengutamakan mereka yang berada di kem bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

“Saya tak tahu siapa mereka,” kata bekas perdana menteri itu kepada MalaysiaNow dalam temu bual baru-baru ini di Putrajaya.

“Waktu itu, tak berapa jelas. Pertelingkahan antara Azmin dan Anwar belum lagi nampak, orang tak tahu. Kami tahu mereka berdua elak sesama sendiri,” kata Mahathir.

Penyokong Anwar mempersoalkan lantikan menteri oleh Mahathir dari PKR dalam barisan Kabinet kerajaan PH yang turut dianggotai Bersatu, DAP, Amanah dan Warisan.

Bulan lalu, ahli Parlimen PKR Fahmi Fadzil berkata partinya dan Umno menerima nasib yang sama apabila hirarki parti mereka diketepikan oleh perdana menteri dalam senarai lantikan Kabinet.

“Senarai menteri dari PKR dalam pentadbiran Mahathir bukan senarai dari parti,” kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu dalam sebuah acara dalam talian.

Selepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 2018, Mahathir melantik Azmin yang sebelumnya merupakan menteri besar Selangor bagi mengisi jawatan menteri hal ehwal ekonomi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Mahathir turut melantik Zuraida Kamaruddin (perumahan), Saifuddin Abdullah (menteri luar) and Baru Bian (kerja raya).

Kesemua mereka dilihat sebagai pemimpin PKR yang tidak sehaluan dengan kem Anwar dalam PKR.

Dalam pada itu, Mahathir turut melantik isteri Anwar Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri yang turut bertanggungjawab terhadap kementerian pembangunan wanita dan keluarga, Saifuddin Nasution Ismail (hal ehwal pengguna), dan Xavier Jayakumar bagi portfolio air, tanah dan sumber asli.

Xavier bagaimanapun turut menarik sokongan beliau terhadap Anwar dan seterusnya keluar dari PKR.

Mahathir berkata beliau tidak pernah berniat untuk mengutamakan “kem Azmin”.

“Saya tengok PKR sebagai PKR. Anwar bukan ahli Parlimen (ketika itu) dan tidak boleh dilantik pegang jawatan menteri, jadi siapa lepas dia?

“Lepas dia ialah Azmin. Jadi saya lantik Azmin. Waktu itu pun, saya tak letak dia jawatan paling tinggi. Saya beri jawatan paling tinggi kepada Wan Azizah sebagai timbalan saya. Betul kan?

“Namun saya beri Azmin tempat, sementara jawatan-jawatan lain itu saya tak tahu sama ada mereka penyokong Azmin atau Anwar. Kerana pada waktu itu, perbezaan antara mereka tidak ketara.”