Monday, September 13, 2021

Rancangan perniagaan SRC helah semata-mata, kata pendakwa dalam rayuan Najib

Sithambaram berkata SRC hanya memulakan perniagaan selepas memindahkan RM4 bilion dari KWAP dalam bentuk simpanan tetap ke Switzerland.

Other News

Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu bahawa pelan perniagaan SRC International Sdn Bhd hanyalah satu helah walaupun wang berjumlah RM4 bilion telah diberikan oleh Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada syarikat tersebut.

Timbalan pendakwa raya ad-hoc V. Sithambaram berkata SRC hanya memulakan perniagaan dengan memindahkan wang tersebut dalam bentuk simpanan tetap ke Switzerland selepas KWAP mengeluarkan pinjaman tersebut pada 2011 dan 2012.

Beliau berhujah demikian di hadapan panel tiga hakim diketuai hakim Abdul Karim Abdul Jalil dalam pendengaran rayuan bekas perdana menteri Najib Razak terhadap sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atas penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42.

Dua lagi hakim yang menganggotai panel itu ialah Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera.

“Malah perayu (Najib) mengakui semasa pemeriksaan balas dalam perbicaraan bahawa penubuhan SRC bukan satu helah,” kata Sithambaram.

Abdul Karim: Tetapi terdapat banyak perkara tentang aktiviti perniagaan mereka. Daripada apa yang saya faham, mereka mempunyai rancangan perniagaan. Tetapi anda mengatakan tiada apa-apa yang dilakukan.

Sithambaram: Ya, mereka mempunyai rancangan untuk melakukan pelbagai aktiviti di merata tempat dari Indonesia ke Mongolia. Tetapi tidak ada apa-apa untuk menunjukkannya. Semua diwar-warkan mengenai rancangan pelaburan adalah pembelaan helah.

“Anda memperoleh pinjaman untuk projek tenaga diperbaharui tetapi wang itu kemudian dibawa ke Switzerland. Pihak pembelaan tidak boleh terima penelitian ini,” katanya.

Ketika ini, salah seorang peguam Najib, Harvinderjit Singh bangun untuk membantah tetapi Sithambaram menegur dan meminta supaya peguam itu duduk.

“Kamu duduk, anda selalu cakap yang karut. Yang Arif, mereka berhujah seperti ini sejak di Mahkamah Tinggi,” katanya.

Sithambaram menyatakan tiada sebarang bukti atau dokumen dikemukakan untuk menunjukkan jenis pelaburan yang dibuat selepas menerima pinjaman RM4 bilion.

Sithambaram: Najib tahu….semua ini adalah helah.

Abdul Karim: Untuk berselindung di sebalik niat sebenar ?

Sithambaram: Ya. Semua bukti sudah ada. Jika mereka melakukan apa yang dikatakan untuk Malaysia, saya akan merasa bangga. Sekurang-kurangnya tiada lagi masalah gangguan bekalan elektrik di negara ini, Tetapi dari 2014 hingga 2018 tiada apa-apa berlaku.

Pendengaran rayuan masih diteruskan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles