- Iklan -
Berita

PBT dibenarkan keluar kompaun pelanggar SOP di bazar Ramadan

KPKT turut menggesa PBT untuk meningkatkan pemantauan dalam pelaksanaan SOP di bazar Ramadan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pelanggan beratur untuk membeli ayam golek panggang untuk juadah berbuka puasa mereka di Bazar Ramadan Tasek Tambahan, Ampang.
Pelanggan beratur untuk membeli ayam golek panggang untuk juadah berbuka puasa mereka di Bazar Ramadan Tasek Tambahan, Ampang.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) kini dibenarkan mengeluarkan kompaun bagi kesalahan-kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (342).

Kementerian perumahan dan kerajaan tempatan (KPKT) dalam kenyataan hari ini berkata kompaun tersebut boleh dikeluarkan datuk bandar, ahli-ahli majlis dan penguat kuasa Gred 19 ke atas.

KPKT turut menggesa PBT untuk meningkatkan pemantauan dalam pelaksanaan SOP di bazar Ramadan yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 29 Mac lalu.

“PBT memainkan peranan yang penting dalam memastikan pematuhan SOP yang ketat bukan sahaja di kalangan pengunjung, bahkan juga pematuhan peniaga terhadap syarat-syarat perniagaan di bazar Ramadan. Dalam hal ini, semakan terhadap peniaga merangkumi maklumat suntikan typhoid, kad pengendali makanan, bayaran permit, SOP dan kebersihan tapak.

“Penguatkuasaan akan dilaksanakan sepenuhnya di semua bazar Ramadan dan Aidilfitri sepanjang bulan Ramadan  termasuk bazar-bazar Ramadan dan Aidilfitri yang bukan di bawah penyeliaan dan kawalan PBT,” katanya lagi di samping turut menambah sekurang-kurangnya empat orang pegawai akan ditempatkan di setiap bazar mengikut saiz lokasi dan kapasitinya.

SOP bagi bazar Ramadan di beberapa kawasan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dan PKP pemulihan termasuk pengawalan jumlah pengunjung, penjarakan fizikal satu meter, penggunaan bahan sanitasi sebelum masuk, pemakaian pelitup muka, daftar masuk dan pemeriksaan suhu.

“Pembesar suara juga digunakan sebagai peringatan kepada pengunjung tentang pematuhan SOP ini.

“Di samping itu, sesi taklimat turut diberikan kepada para peniaga yang terlibat bagi memastikan pematuhan terhadap syarat-syarat yang telah ditetapkan,” kata kementerian.