Sunday, May 16, 2021

Garis panduan penggunaan kalimah ‘Allah’ akan diumumkan, kata KDN

Perbincangan dengan wakil-wakil dari kumpulan agama turut diadakan untuk mencapai kata sepakat berhubung penggunaan kalimah 'Allah'.

Other News

Kementerian dalam negeri akan mengumumkan garis panduan penggunaan kalimah “Allah” susulan penghakiman Mahkamah Tinggi yang membatalkan larangan penggunaannya dan Putrajaya turut mengemukakan rayuan untuk semakan semula keputusan tersebut.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata garis panduan tersebut akan didasari undang-undang sedia ada dan boleh diterima oleh semua kumpulan masyarakat.

Beliau berkata perbincangan mengenai perkara tersebut telah diadakan bersama beberapa wakil dari pelbagai kumpulan agama bagi memastikan persetujuan bersama dapat dicapai.

Beliau turut menambah garis panduan yang akan diumumkan secara berperingkat bagi memastikan setiap kumpulan agama dapat memahami isu tersebut dengan lebih baik.

“Kalau boleh secepat mungkin, (kita) tak nak jadi isu (ini berlarutan),” kata beliau dalam sebuah sidang media hari ini.

“Kita tidak mahu isu ini menjadi isu yang boleh ‘divide all of us’.”

Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan bahawa penganut Kristian boleh menggunaan beberapa perkataan termasuk “Allah”, “Baitullah”, “Kaabah,” dan “solat” dalam penerbitan agama mereka.

Hakim Mahkamah Rayuan Nor Bee Ariffin yang bertindak sebagai hakim Mahkamah Tinggi membenarkan tindakan undang-undang ke atas permohonan seorang wanita Kristian berketurunan Melanau, Jill Ireland menggunakan kalimah Allah bagi tujuan keagamaan dan pendidikan.

Keputusan itu menghentikan kemelut pertikaian selama 13 tahun sejak Jill membuatkan fail permohonan semakan kehakiman pada 20 Ogos 2008 dengan tujuan menuntut pemulangan CD yang dirampas pada pada 11 Mei 2008 serta bayaran ganti rugi.

Pada hari yang sama mahkamah turut memutuskan kerajaan melakukan kesilapan dalam mengeluarkan larangan penggunaan kalimah Allah pada tahun 1986 kepada masyarakat bukan Islam.

Dalam penghakimannya, beliau turut berkata, penganut Kristian menggunakan perkataan itu sejak lebih daripada 400 tahun.

Bagaimanapun Putrajaya mengemukakan rayuan, mengatakan tidak berpuas hati terhadap keputusan tersebut.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam lawatannya ke Sarawak baru-baru ini mengatakan beliau menyerahkan perkara tersebut kepada mahkamah.

Isu ini juga mencetuskan perdebatan mengenai penggunaan kalimah tersebut dan Sultan Selangor turut mengumumkan larangannya masih terpakai di negeri itu.

Sementara itu, Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg pula berkata pada awal bulan ini bahawa orang bukan Islam di Sarawak boleh menggunakan perkataan tersebut pada bila-bila masa.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles