Wednesday, September 29, 2021

Pentadbiran Pulau Sipadan, Ligitan dikembalikan kepada Sabah

Manakala Sarawak diberikan kawalan sepenuhnya terhadap pengurusan agihan gas bagi negeri itu.

Other News

Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) bersetuju menyerahkan pentadbiran Pulau Sipadan dan Ligitan kepada kerajaan negeri Sabah manakala Sarawak diberikan kawalan sepenuhnya terhadap pengurusan agihan gas bagi negeri itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Maximus Ongkili berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat MKMA63 semalam yang dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Hadir sama dalam mesyuarat secara maya itu ialah Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dan Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg.

Bagaimanapun, kawalan keselamatan terhadap kedua-dua pulau itu masih di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan, katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu hari ini.

“Perdana menteri berkata Sabah mempunyai hak kedaulatan ke atas kedua-dua pulau itu, yang diletakkan di bawah pengawasan Taman-Taman Sabah dan perlindungan di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959,” katanya.

Ongkili berkata penyerahan sepenuhnya akan diuruskan oleh Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata penyerahan kawalan dan pengurusan agihan gas di bawah Ordinan Pengagihan Gas 2016 akan berkuat kuasa 1 Jun ini.

Ongkili, yang mengetuai Sekretariat MKMA63, berkata kedua-dua isu berkenaan berjaya diselesaikan dalam tempoh empat bulan sejak MKMA63 mengadakan mengadakan mesyuarat pertamanya pada Disember tahun lalu.

Katanya, di bawah Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan, dua laporan dibentangkan.

“Satu mengenai cadangan pindaan Perlembagaan di bawah Perkara 1 (2) dan Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan, yang membincangkan definisi persekutuan. Pasukan perundangan diketuai Peguam Negara Idrus Harun bersama-sama peguam negara Sabah dan Sarawak.

“Laporan kedua pula berkaitan isu kehakiman di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak. Satu jawatankuasa dibentuk untuk bersidang bersama-sama peguam besar Sabah dan Sarawak,” katanya.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin, yang mengetuai jawatankuasa kerja keselamatan, turut membentangkan laporannya menyentuh mengenai pendatang asing tanpa izin, masyarakat Palau dan isu pendaftaran nasional mengenai undang-undang yang dilanggar di Sabah dan Sarawak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed, yang mengetuai jawatankuasa kerja sosioekonomi, melaporkan mengenai data kemiskinan di Sabah dan Sarawak, dengan memperincikan mengenai infrastruktur, terutama kemudahan air, jalan raya, pendigitalan dan kesihatan serta cadangan penyelesaian.

Ongkili berkata jawatankuasa berkenaan juga akan menyediakan pangkalan data dan pusat pemantauan untuk Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) untuk Sabah dan Sarawak dalam Unit Perancang Ekonomi.

Beliau berkata jawatankuasa kajian perundingan bersama turut dibentuk antara pihaknya dan kementerian kewangan, yang akan memberi fokus kepada mengkaji semula pemberian khas, termasuk 40 peratus peruntukan bayaran balik kepada Sabah seperti yang termaktub di bawah Perkara 112 (D) Perlembagaan Persekutuan.

Ongkili menjelaskan bahawa ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan pemerintah mendakwa bahawa dari 21 isu yang dibangkitkan mengenai MA63,17 daripadanya selesai adalah palsu.

“Tiada keputusan muktamad kecuali sekurang-kurangnya dua atau empat isu di Sabah termasuk perhutanan.

“Hanya komitmen dari pihak mereka (PH) untuk menyelesaikan 17 masalah tersebut tetapi dasar, undang-undang dan peraturan belum diubah dan akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.

“Melalui MKMA63, kita sedang melakukan pindaan terhadap dasar, peraturan dan undang-undang. Kerajaan Perikatan Nasional yang akan memberikan resolusi dan penyelesaian kepada rakyat,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles