- Iklan -
Berita

Najib punyai kuasa mutlak ke atas SRC International, kata pendakwa

Pihak pendakwaan berkata Najib berkuasa dalam kapasitinya sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan penasihat emeritus SRC International.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Najib Razak ketika menghadiri perbicaraan di Mahkamah Rayuan hari ini. Gambar: Bernama
Najib Razak ketika menghadiri perbicaraan di Mahkamah Rayuan hari ini. Gambar: Bernama

Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu Najib Razak mempunyai kuasa mutlak ke atas SRC International Sdn Bhd, termasuk pelantikan dan pemecatan pengarah, kerana perlembagaan syarikat membenarkannya.

Timbalan pendakwa raya ad-hoc V Sithambaram berhujah peruntukan dalam Memorandum dan Artikel SRC menyatakan tiada sesiapapun boleh dilantik sebagai pengarah tanpa restu perdana menteri ketika itu.

Sithambaram berhujah demikian di hadapan panel tiga hakim diketuai hakim Abdul Karim Abdul Jalil dalam pendengaran rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana penyalahgunaan RM42 juta dana SRC International.

Dua lagi hakim yang menganggotai panel itu ialah Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera.

Sithambaram: Kami mengatakan bahawa Najib mempunyai kuasa untuk melantik dan memecat bagi pihak SRC.

Abdul Karim: Bukan ahli lembaga pengarah? Sithambaram menjawab “tidak”.

Sithambaram juga berkata Najib berkuasa mengawal syarikat dalam kapasitinya sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan penasihat emeritus SRC ketika itu.

“Lembaga itu bertindak atas arahan Najib melalui Ketua Pegawai Eksekutif SRC Nik Faisal Ariff Kamil yang merupakan ‘pelindung’ di belakang perayu (Najib),” tambah beliau.

Sithambaram menjelaskan bekas Pengerusi SRC Ismee Ismail dan Pengarahnya Suboh Md Yassin memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai kuasa yang digunakan oleh Najib.

Beliau berkata pembabitan Najib dalam SRC seawal tahun 2011 apabila syarikat itu diperbadankan sebagai syarikat sendirian berhad.

Sithambaram berkata perlembagaan syarikat itu menyatakan bahawa Najib mesti dirujuk jika keputusan penting tertentu dibuat.

Tambah beliau, pada mulanya syarikat itu menjadi anak syarikat 1MDB dan kemudian diletakkan di bawah kementerian kewangan diperbadankan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lalu, menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun kepada Najib dan memerintahkannya membayar denda RM210 juta setelah mendapati dia bersalah atas tujuh tuduhan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram berkaitan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Pendengaran rayuan itu bersambung.