- Iklan -
Berita

Mahathir perlekeh usaha Umno nak jadi dominan semula

Dr Mahathir berkata Bersatu juga tidak mampu menentang Umno dalam pilihan raya umum akan datang.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Dr Mahathir Moahamad tersenyum ketika temu bual eksklusif bersama MalaysiaNow mengenai perkembangan politik Malaysia di Yayasan Kepimpinan Perdana baru-baru ini.
Dr Mahathir Moahamad tersenyum ketika temu bual eksklusif bersama MalaysiaNow mengenai perkembangan politik Malaysia di Yayasan Kepimpinan Perdana baru-baru ini.

Lelaki yang memimpin Umno selama dua dekad dan menjadikan parti itu dominan sehingga berjaya memenangi lima pilihan raya umum dengan bergaya memperlekehkan cakap-cakap dari kepimpinan sekarang yang mahu parti Melayu itu menjadi pemandu utama politik Malaysia.

Dr Mahathir Mohamad, yang memerintah negara sepanjang 1990-an dan menjadi musuh utama pembangkang, tidak melihat wujud peluang sedemikian bagi mana-mana parti termasuk Umno yang mengetuai Barisan Nasional (BN) ketika tersungkur dari tampuk kekuasaan pada 2018.

Beliau berkata parti yang pernah mengetuai gabungan politik terbesar itu sudah berpecah dan tidak memiliki harapan untuk bangkit semula seperti zaman kegemilangannya dahulu.

“Tak ada masa depan (untuk Umno),” kata Mahathir yang berkhidmat sebagai perdana menteri dengan penggal pemerintahan terpanjang dan terpendek dalam dua kali pemerintahannya kepada MalaysiaNow ketika temu bual baru-baru ini di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

“Walaupun mereka duduk bersama ia hanya mewakili sebahagian kecil Umno yang asal. Bukan keseluruhan Umno.”

Tema dalam Perhimpunan Agung Umno bulan lalu adalah perbahasan mengenai menjadikan Umno sebagai parti yang dominan semula.

Para pemimpinnya bergilir-gilir menggesa kerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada ketika ini diputuskan kerana parti itu hanya menjadi pemain kedua selepas Bersatu, sebuah parti serpihan Umno yang diasaskan Mahathir dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya Mohamad Hasan turut mengatakan di hadapan perwakilan parti itu tidak akan bertolak ansur jika ia tidak diletakkan pada kedudukannya sebelum ini.

“Mereka (boleh) cakap, tetapi cara mereka buat tak nampak mereka semua bersatu,” kata Mahathir.

Mahathir turut berkata beliau tidak melihat wujud masa depan untuk Umno bagi pilihan raya umum akan datang, kerena untuk mendapatkan 80 kerusi seperti sebelum ini hanyalah mimpi yang sukar dijangkau.

“Mungkinlah dapat 50 atau 40 kerusi, tapi itu tidak cukup untuk tubuh gabungan yang kuat.”

Namun beliau menambah ia juga tidak bermakna Bersatu akan mampu menangi banyak kerusi.

“Muhyiddin tak akan dapat sokongan. Mereka akan kalah lawan Umno. Sebab Umno akan bertanding di kerusi Bersatu sebelum ini. Dan Umno juga akan bertanding di kerusi orang Umno yang sertai Bersatu,” katanya.

“Pada masa yang sama, sudah tentu, Umno nak jadi parti dominan. Jadi mereka akan bertanding mungkin dalam 80 hingga 90 kerusi. Namun mereka tak akan berjaya.”

Mahathir berkata walaupun Umno menjadi dominan dalam kerajaan, ia tidak boleh mendapat sokongan yang cukup hanya dengan satu parti sahaja.

“Pada satu waktu, Umno sudah jadi parti dominan. Cukup ampuh. Ia jadi pasukan utama. Namun Umno sendirian tak pernah menang untuk tubuh kerajaan. Umno perlukan sokongan MCA, MIC, dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

“Namun sekarang Umno tidak lagi menjadi parti dominan, ia sudah berpecah. Ramai yang sertai Bersatu. Dan ada juga yang tubuh kumpulan-kumpulan dalam Umno.”

Pada Pilihan Raya Umum 2018, Umno melalui gabungan politiknya, BN, memenangi 54 kerusi, kebanyakannya disebabkan pertembungan beberapa penjuru memberikan kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).

Sejak itu, parti itu terus menyaksikan pemimpinnya melompat menyertai Bersatu, menyebabkan Umno hanya tinggal 38 ahli Parlimen.

Kepimpinan Umno juga turut menjadi sasaran kritikan terbuka rakan politiknya MCA dan MIC yang tidak pernah berlaku sebelum ini, selepas sekian lama dituduh sering menuruti segala kemahuan parti Melayu itu.

Dalam pada itu, Mahathir berkata beberapa percubaan baru-baru ini yang dilakukan pemimpin Umno seperti Zahid dan bekas perdana menteri Najib Razak untuk menyegarkan semula Umno dengan mendekati belia di media sosial tidak akan mendatangkan hasil.

“Saya tak fikir begitu. Belia ni orangnya idealistik, mereka nak kerajaan yang bersih,” katanya.

Beliau bersetuju dengan pandangan tidak ada satu-satu parti yang dominan mendapat kerusi cukup bagi menuntut jawatan perdana menteri.

“Sebab semua parti sudah berpecah. Orang Melayu sudah berpecah jadi lapan parti, Umno sendiri sudah berpecah, dalam Umno ada empat kumpulan dan sebahagian mereka cukup keras dengan Najib.”

Beliau berkata menubuhkan gabungan adalah satu-satunya cara untuk memenangi tampuk kerajaan negara.

“Di Malaysia, tak ada satu parti yang boleh tubuh kerajaan sendirian. Ia sentiasa tentang gabungan politik,” katanya dan menambah kesetiaan kaum dalam politik itu masih kekal wujud.