- Iklan -
Berita

Bekalan vaksin akan stabil pada Jun depan, kata Khairy

Bekalan vaksin ketika ini didominasi negara-negara maju.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Khairy Jamaluddin merupakan menteri penyelaras PICK dan juga menteri sains, teknologi dan inovasi. Gambar: Bernama
Khairy Jamaluddin merupakan menteri penyelaras PICK dan juga menteri sains, teknologi dan inovasi. Gambar: Bernama

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin hari ini memberikan jaminan bekalan vaksin Covid-19 di Malaysia akan stabil pada bulan Jun sekali gus vaksinasi besar-besaran akan dijalankan dengan kadar “sepenuhnya”.

Maklum dengan kebimbangan yang disuarakan berkaitan kadar vaksinasi setakat ini, beliau berkata “Buat masa sekarang, permintaan (vaksin) melebihi bekalannya”.

Namun, berdasarkan jadual penghantaran yang diterima daripada pihak pembekal, beliau berkata Malaysia akan memiliki bekalan yang cukup bagi memastikan 80% populasi penduduknya mendapat vaksin sebelum tahun ini berakhir.

“Saya ambil maklum semua orang risau tentang vaksinasi Covid-19 mereka, Saya juga perlu uruskan jangkaan orang ramai dengan mempertimbangkan realiti vaksin yang tersedia,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Beliau turut menambah bahawa beliau akan terus berusaha untuk menyegerakan tambahan bekalan vaksin dalam negara sampai lebih awal.

Khairy yang juga menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) turut berkata bekalan vaksin di Malaysia dan beberapa negara membangun lain adalah rendah kerana negara-negara maju mendominasi pasaran ketika ini.

“Sebahagian negara-negara kaya sudah pun membeli vaksin yang cukup untuk rakyat mereka bahkan lebih tiga hingga empat kali ganda,” katanya lagi di samping turut menambah kebanyakan syarikat perubatan yang membekalkan vaksin mendahulukan negara-negara tersebut.

Beliau berkata hal demikian juga menjadi faktor mengapa Malaysia perlu menyeimbangkan portfolio vaksin Covid-19 dengan memasukkan suntikan vaksin daripada pelbagai bekalan termasuk Pfizer dan AstraZeneca selain bekalan vaksin dari negara China, Sinovac.

Fasa 1 PICK yang bermula Februari lalu memberikan keutamaan kepada barisan hadapan negara dijangka akan berakhir dalam tempoh segera dan Fasa kedua akan dimulakan pada 19 April depan melibatkan warga emas dan golongan yang berisiko tinggi.

Fasa 3 yang melibatkan warga dewasa berusia 18 tahun ke atas dijadualkan bermula pada Mei depan.

Kerajaan ketika ini menyasarkan imuniti kelompok melalui program inokulasi 80% populasi Malaysia yang dijangka selesai pada Februari 2022.