- Iklan -
Berita

Varian B117 tiada kaitan dengan jangkitan lebih bahaya

Dua kajian tidak menemui bukti bahawa pesakit yang dijangkiti varian B117 mengalami gejala yang lebih teruk atau risiko yang lebih besar.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
B117 itu merupakan virus yang dominan di kebanyakan negara Eropah, dan kajian sebelum ini mengaitkan varian tersebut dengan kemungkinan risiko kematian yang lebih tinggi daripada varian normal. Gambar: AP
B117 itu merupakan virus yang dominan di kebanyakan negara Eropah, dan kajian sebelum ini mengaitkan varian tersebut dengan kemungkinan risiko kematian yang lebih tinggi daripada varian normal. Gambar: AP

Varian Covid-19 Britain tidak meningkatkan tahap ketenatan jangkitan berbanding varian lain, kata penemuan yang diterbitkan pada Selasa.

Penyelidikan yang diumumkan pada Selasa itu bagaimanapun mengesahkan peningkatan kebolehjangkitannya kerana memiliki kadar kandungan virus lebih banyak dari varian normal.

Varian yang turut dikenali sebagai B117 itu merupakan virus yang dominan di kebanyakan negara Eropah, dan kajian sebelum ini mengaitkan varian tersebut dengan kemungkinan risiko kematian yang lebih tinggi daripada varian normal.

Namun dua kajian yang diterbitkan jurnal The Lancet Infectious Diseases dan The Lancet Public Health tidak menemui bukti bahawa pesakit yang dijangkiti varian B117 mengalami gejala yang lebih teruk atau risiko yang lebih besar daripada mereka yang dijangkiti dengan varian yang berbeza.

Walau bagaimanapun, kajian mendapati varian tersebut dikaitkan dengan kadar pembiakan yang lebih tinggi daripada varian normal.

Penulis kajian pertama meneliti data dari 341 pesakit positif untuk Covid-19 akhir tahun lalu ketika B117 berleluasa di Britain.

Mereka mendapati bahawa 58% pesakit memiliki B117, sementara 42% tidak mempunyai varian B117 Covid-19.

Daripada mereka yang dijangkiti B117, 36% pesakit menjadi tenat atau meninggal dunia, berbanding dengan 38% mereka yang bukan B117.

Peratusan itu menunjukkan bahawa tidak ada hubungan antara B117 dengan peningkatan risiko jangkitan.

Pesakit dengan varian tersebut cenderung lebih muda, dan jangkitan B117 lebih kerap berlaku pada kumpulan etnik minoriti.

Laporan itu juga turut menganalisis kebolehjangkitan dengan meneliti data yang dihasilkan ujian PCR. Mereka mendapati bahawa sampel swab dengan varian B117 cenderung mengandungi jumlah virus lebih banyak daripada swab bukan B117.

Mengulas kajian pertama, Sean Wei Xiang Ong, Barnaby Edward Young dan David Chien Lye dari Pusat Nasional Penyakit Berjangkit, Singapura, berkata bahawa penemuan itu berbeza dengan tiga kajian sebelum ini yang menunjukkan bahawa B117 lebih bahaya daripada varian lain.

Namun mereka berkata bahawa kajian Lancet mempunyai kelebihan kerana menggunakan penjujukan seluruh genom serta hasil keputusan pesakit yang sembuh.

“Penemuan bahawa jangkitan B117 tidak meningkatkan risiko penyakit berat dan kematian namun ia masih memerlukan pengesahan lebih lanjut dalam kajian yang lebih besar,” kata para pakar.

Kajian kedua menganalisis data yang dilaporkan sendiri dari 36,920 pengguna Britain aplikasi simptom Covid-19 yang diuji positif antara 28 September hingga 27 Disember tahun lalu.

Mereka mendapati bahawa varian B117 juga memiliki kadar pembiakan 1.35 kali lebih tinggi daripada varian koronavirus yang normal, namun tetap tidak menemukan bukti peningkatan kadar ketenatan penyakit.