- Iklan -
Berita

Selepas 6 hari, pembelaan Najib selesai hujah rayuan kes SRC

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai lepas menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib setelah mendapati dia bersalah.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Najib Razak ketika menghadiri perbicaraan mahkamah berhubung skandal SRC International.
Najib Razak ketika menghadiri perbicaraan mahkamah berhubung skandal SRC International.

Selepas enam hari, pasukan pembelaan Najib Razak hari ini menamatkan penghujahan mereka, yang merujuk kepada soal mengapa bekas perdana menteri itu harus dibebaskan daripada hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tahun lepas.

Mereka sepatutnya menamatkan hujah dalam rayuan berhubung kes SRC International Sdn Bhd itu pada hari Khamis lepas, namun memohon lanjutan bagi menamatkan penghujahan kes mereka.

Prosiding rayuan pada mulanya ditetapkan selama 12 hari bermula 5 April, hingga 22 April, dengan masing-masing pembelaan dan pendakwaan diberikan tempoh empat hari untuk menyampaikan hujah mereka.

Kedua-dua pihak turut diberikan dua hari untuk mengemukakan hujah akhir masing-masing.

Sepanjang enam hari perbicaraan, sejumlah 20 bungkusan dokumen yang mengandungi 2,000 muka surat yang berkaitan dengan rayuan telah dikemukakan di mahkamah.

Semasa perbicaraan, peguam Najib berhujah bahawa hakim perbicaraan Mohd Nazlan Ghazali melakukan kesilapan besar apabila mendapati bekas perdana menteri itu melakukan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Pihak pembelaan menegaskan Nazlan tersilap arah dalam beberapa isu undang-undang apabila menyabitkan Najib Julai lepas.

Terdahulu peguam Najib, Farhan Read berhujah hakim perbicaraan dilihat “terdorong” untuk memutuskan bekas perdana menteri itu bersalah.

“Fakta yang dilihat dalam kes ini adalah hanya seorang sahaja yang mampu dipersalahkan oleh hakim, dalam kes ini adalah Najib, sedangkan nama-nama yang lain seperti Jho Low dan Nik Faisal Ariff Kamil lari.

“Kehendak hakim menamakan seseorang sebagai bertanggungjawab melakukan kesalahan memang difahami, kerana ini (RM42 juta dana SRC) adalah kerugian bagi Malaysia, namun ia tidak kena untuk meletakkan sepenuhnya kesalahan ke atas seorang yang masih tinggal.

“Kita boleh bersimpati dengan hakim perbicaraan, dan cabaran yang dihadapinya apabila menjadi perhatian disebabkan kes ini yang terbesar di abad ini, tapi kita juga tidak boleh terima penilaian yang buat hakim terhadap bukti (kes SRC) kes ini,” tambahnya.

Mahkamah diberitahu bahawa Najib tidak tahu bahawa RM42 juta disalurkan dari SRC ke dalam akaun banknya kerana beliau percaya bahawa wang itu adalah baki derma daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Esok, perhatian akan tertumpu kepada pendakwa ad hoc Sithambaram, apabila peguam jenayah terkenal itu memulakan hujahnya.

Rayuan kes ini didengar oleh panel tiga hakim, diketuai oleh Hakim Abdul Karim Abdul Jalil, bersama dengan Hakim Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai lepas menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib setelah mendapati dia bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kedudukan, melibatkan dana SRC International RM42 juta.