- Iklan -
Berita

Pemimpin DAP jarakkan diri dari kenyataan parti tak perlu ‘cairkan kecinaan’

Loke berkata DAP sentiasa mengamalkan 'multiculturalism' dalam kalangan ahli parti.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Kenyataan Adun Sungai Pelek Ronnie Liu dianggap sebagai cauvinis oleh pemimpin DAP sendiri. Gambar: Bernama
Kenyataan Adun Sungai Pelek Ronnie Liu dianggap sebagai cauvinis oleh pemimpin DAP sendiri. Gambar: Bernama

Pemimpin DAP Loke Siew Fook hari ini dilihat menjarakkan parti itu daripada komen ahli Jawatankuasa Pusat DAP Ronnie Liu baru-baru bahawa DAP tidak perlu “mencairkan kecinaannya” dan dibataskan hanya untuk meraih sokongan orang Melayu.

Loke berkata komen Ronnie Liu hanya mewakili pandangan peribadi atau satu bahagian daripada parti, namun bukan pandangan yang mewakili seluruh parti.

“Ada usaha dari DAP untuk lebih terbuka supaya dapat diterima masyarakat Malaysia,” katanya dalam temu bual yang dianjurkan Majlis Profesor Negara hari ini, di samping turut menambah bahawa parti itu ditunjangi dasar “multiculturalism”.

“Oleh sebab itu mengapa ada perdebatan dalam DAP kerana DAP berusaha untuk tonjol kepelbagaian..”

Loke yang merupakan setiausaha organisasi parti itu turut berkata pendekatan ini mungkin boleh menimbulkan risiko kerana kemungkinan kepimpinan parti ketika ini sedang cuba dijatuhkan.

“Itu satu risiko, kita mesti jelaskan kepada penyokong bahwaa DAP bukan untuk satu kaum shj.” tambahnya lagi.

Liu, yang merupakan Adun Sungai Pelek, semalam berucap dalam sebuah majlis.

“DAP adalah untuk semua rakyat Malaysia. Kita perlu bekerjasama dengan parti-parti Melayu yang lain, tetapi kita tidak boleh menjatuhkan maruah atau menggambarkan diri kita sebagai parti bukan Cina,” kata beliau dalam beberapa laporan.

Beliau turut berkata “DAP adalah parti pelbagai kaum. Parti ini tidak perlu mencairkan kecinaannya hanya kerana kritikan daripada musuh politik kita.”

Kenyataan beliau tersebut mendapat respons dari Ahli Parlimen Damansara Tony Pua dan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh

“Ronnie Liu tidak mewakili saya. DAP yang Ronnie mahukan bukan DAP yang saya sertai.” kata Yeoh.

“Bagi saya, saya sudah lama tidak mendengar Ronnie. Tetapi kali ini saya tidak boleh berdiam diri. Dia telah menjejaskan banyak pemimpin DAP di luar sana yang bekerja keras untuk melawan prasangka dan stigma terhadap DAP

“Ronnie Liu tidak mewakili saya,” tambah beliau dalam sebuah hantaran Facebook.

Sementara itu, Pua berkata “Itu adalah sifat paling cauvinis yang seseorang boleh miliki dan DAP tidak memerlukan cauvinis dalam parti.”

Namun Loke berkata parti tidak perlu mengenakan tindakan disiplin terhadap Liu kerana beliau bebas memberikan pandangan-pandangannya.