- Iklan -
Berita

Kemungkinan kerjasama DAP-Umno masih tak ada, kata Loke

Setiausaha organisasi DAP itu juga turut mempersoalkan sama ada penyokong parti itu dapat menerima kerjasama dengan Umno.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Organisasi DAP Loke Siew Fook. Gambar: Bernama
Setiausaha Organisasi DAP Loke Siew Fook. Gambar: Bernama

Pemimpin DAP Loke Siew Fook hari ini menafikan kemungkinan kerjasama dengan Umno bagi berdepan dengan pilihan raya umum kerana dua parti itu memiliki sejarah konflik sejak puluhan tahun lamanya.

Bercakap dalam sebuah acara temu bual yang dianjurkan Majlis Profesor Negara, setiausaha organisasi DAP itu berkata kerjasama antara Umno, DAP dan PKR untuk membentuk kerajaan mudah hanya pada kata namun ia belum teruji.

“Atas kertas nampak mudah, tapi perlu ada banyak perincian,” katanya.

“Andaikata DAP kerjasama Umno dan PKR, pengundi Cina akan terima? ini sesuatu yang saya tak berani buat rumusan.

“Itu sesuatu yang (buat) saya rasa kemungkinan kerjasama masih tak ada,” tambahnya.

Loke membuat ulasan mengenai pendekatan “khemah terbuka” yang diumumkan Pakatan Harapan (PH) beberapa hari lalu berkaitan isu mengembalikan demokrasi berparlimen dengan menghentikan penangguhan Parlimen.

Pendekatan tersebut merujuk dasar membenarkan atau menggalakkan spektrum pandangan yang luas dalam kalangan ahli parti.

Majlis Presiden PH juga berkata pihaknya akan mengutus memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong dengan tandatangan semua ahli Parlimen yang menyokong pembukaan semula Dewan Rakyat.

Beliau turut menekankan keperluan untuk bekerjasama dengan mana-mana parti berdasarkan prinsip dan agenda reformasi “tanpa memasukkan kleptokrat”.

Loke berkata sukat untuk Umno dan DAP bekerjasama kerana kedua-dua parti adalah musuh tradisi sejak beberapa dekad.

Ketika beliau ditanya bagaimana reaksi pengundi jika wujud kerjasama antara kedua-dua parti, beliau menjawab penyokong DAP terbahagi kepada beberapa kelompok.

“Ada respons pelbagai. Ada yang kata perlu diterokai, ada yang kata kita tak boleh terima. Kita lawan bersungguh-sungguh.

“Kalau sekarang nak angkat, tak boleh terima sama sekali,” tambahnya.

Baru-baru ini, Umno mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu selepas Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi menerima sokongan sebulat suara daripada perwakilan di Perhimpunan Agung Umno.

Sebuah rakaman perbualan telefon mirip suara Zahid and Anwar Ibrahim kemudian muncul. Mereka berdua didengar saling mengucapkan terima kasih dan tahniah berhubung keputusan perhimpunan parti Melayu itu.

Bagaimanapun Zahid menafikan suara dalam rakaman tersebut adalah suara beliau, sementara Anwar berkata tidak ada kesalahan berlaku kalau pun rakaman perbualan tersebut memang terjadi.