- Iklan -
Berita

Tuntutan pindaan Perlembagaan tidak boleh dirunding, kata KM Sarawak

Pindaan Artikel 160 (2) Perlembagaan Persekutuan adalah bagi mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi setara dalam persekutuan.

Nur Shazreena Ali
1 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan suasana di DUN Sarawak. Gambar: Bernama
Pemandangan suasana di DUN Sarawak. Gambar: Bernama

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg hari ini mengulangi pendirian kerajaan negeri mendesak kerajaan pusat untuk meminda Artikel 160 (2) Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi setara dalam persekutuan, sejajar dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63 ).

Berucap di sebuah acara di Miri, beliau berkata bahawa pindaan peruntukan Perlembagaan itu “tidak boleh dirunding” kerana ia adalah hak Perlembagaan Sarawak yang diperuntukkan di bawah MA63.

“Kita mahu kerajaan pusat pinda Artikel 160 (2),” katanya.

“Apa yang kita mahukan adalah hak kita dihormati.

“Kita di GPS, sangat tegas dalam keputusan dan kita tak boleh runding,” tambahnya.

“Ia tidak boleh dirunding karena ia adalah hak kita.”

Johari berkata pindaan dituntut pihaknya adalah bagi membolehkan “persekutuan” ditakrifkan sesuai dengan MA63 dan bukannya Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, seperti yang berlaku ketika ini.

“Pada masa ini, perlembagaan kita hanya merujuk kepada Persekutuan Tanah Melayu. Sekiranya saya tidak salah, perkataan persekutuan disebutkan sebanyak 50 kali dalam Perlembagaan.

“Jadi, jika semua undang-undang merujuk kepada persekutuan ini, maka menurut tafsiran ini bermakna semua undang-undang merujuk kepada Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957.”

Beliau berkata bahawa Perlembagaan hanya boleh sejajar dengan perjanjian yang wujud dalam MA63 setelah pindaan dibuat.