Sunday, September 26, 2021

Tidak mengejutkan, Anwar bincang dengan Najib juga, kata Dr Mahathir

Menurut Mahathir, beliau perlu bekerjasama dengan pembangkang atas sebab praktikal selain menganggap Najib sebagai bahaya.

Other News

Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak terkejut dengan perbualan telefon antara presiden PKR dan Umno baru-baru ini kerana kedua-dua tokoh politik itu sememangnya mengadakan perbincangan.

Menurutnya, beliau sedar bahawa Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan dengan “semua orang, termasuk Najib (Razak)”.

“Itu cara dia bekerja. Dia bercakap dengan semua orang, namun apa yang dia kata hasil perbincangan, tidak sama dengan apa yang sebenarnya berlaku,” katanya kepada MalaysiaNow dalam temu bual di pejabatnya di Putrajaya.

Dalam rakaman berdurasi empat minit didedahkan MalaysiaNow, suara seakan dua pemimpin parti politik itu didengar saling berterima kasih dan menyatakan rasa senang hati selepas perwakilan-perwakilan Umno bersetuju dengan usul Zahid supaya parti itu memutuskan hubungan dengan gabungan Perikatan Nasional (PN).

Dalam rakaman itu juga, Zahid didengar turut berterima kasih atas sokongan moral Anwar kepadanya.

MalaysiaNow yang menerima rakaman tersebut melalui sumber yang dipercayai boleh mengesahkan suara-suara yang dirakam tersebut adalah tulen milik dua pemimpin parti itu

Kedua-dua pemimpin parti itu juga berkata akan menghantar pegawai masing-masing untuk melaporkan perkara tersebut kepada polis.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador turut dilaporkan berkata mereka berdua akan dipanggil untuk membantu siasatan.

Zahid yang juga ahli Parlimen Bagan Datuk menafikan suara dalam rakaman tersebut adalah suara beliau sementara Anwar berkata tidak ada kesalahan jenayah dalam perbualan tersebut, kalau pun ia berlaku.

Selain isu berhubung Anwar dan Zahid, temu bual selama satu jam dengan Mahathir hari ini menyaksikan bekas pemimpin nombor satu negara itu mengkritik pemimpin lain selain Anwar dan Zahid.

Akan tetapi kritikan keras dihalakan terhadap Najib Razak, yang terlibat dalam skandal 1MDB sehingga membuat Mahathir keluar Umno pada 2016.

Ketika ditanya mengapa beliau masih menerima Anwar sebagai calon perdana menteri walaupun mengetahui cara politiknya, Mahathir berkata beliau bersikap pragmatik tentang peluang Bersatu, parti yang dibentuknya untuk menentang Umno.

“Saya harus bekerjasama dengan parti-parti pembangkang. Semua parti pembangkang menentang saya. Tetapi saya putuskan bahawa, antara mereka dan Najib, bahaya yang lebih besar datang dari Najib. Oleh itu, untuk tujuan praktikal, saya harus bekerjasama dengan pembangkang, dan ia termasuk Anwar. Anwar dilantik sebagai ketua pembangkang.

“Sekiranya tidak menerimanya, pembangkang tidak akan kerjasama dengan anda. Dan saya juga sudah setuju sebelum ini setelah saya undurkan diri, Anwar harus menjadi perdana menteri.”

Sementara itu, Mahathir berkata kerjasama Anwar, Zahid dan Najib masih tidak mampu meletakkan pemimpin PKR itu di puncak kekuasaan, kerana tidak ada kepastian Pakatan Harapan (PH) akan menyokong usaha beliau itu.

“Tidak. Saya rasa Anwar tidak akan dapat sokongan. Kerana Anwar bergantung pada 92 undi dari PH. Itulah kekuatannya. Tetapi untuk mendapatkan 92 undi masih belum pasti. Kerana ahli Parlimen dari DAP tidak akan sokong, dan mereka yang dari PKR juga akan menentangnya.

“Jadi dia mungkin tidak dapat 92. Dia mungkin dapat 80, ditambah apa sahaja sokongan yang diberikan oleh Najib tidak akan cukup untuk membentuk kerajaan,” kata Mahathir.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles