- Iklan -
Berita

Mekanik tradisional ‘cukup-cukup makan’ ketika pelanggan berhijrah ke pusat servis sah

Semakin ramai pelanggan gunakan khidmat pusat servis yang sah, hanya pelanggan setia dapat bantu bengkel tradisional.

Siva Selan
2 minit bacaan
Kongsi
Bengkel tradisional berdepan waktu sukar dengan tumbuhnya bengkel-bengkel kenderaan canggih yang sah.
Bengkel tradisional berdepan waktu sukar dengan tumbuhnya bengkel-bengkel kenderaan canggih yang sah.

Mekanik tradisional sememangnya menjadi pilihan ramai bagi membaiki kereta yang rosak atau menyelesaikan masalah tayar bocor.

Namun, dengan kecanggihan enjin berkomputer, pusat servis kereta yang sah menjadi pilihan utama pelanggan untuk membaiki kereta.

Mekanik tradisional sememangnya antara golongan pekerja dalam sektor pekerjaan 3D: dirty (kotor),dangerous (berbahaya) dan difficult (sukar) yang paling kuat bekerja.

Mereka bekerja tanpa henti selama 12 jam – enam atau tujuh hari seminggu – untuk membaiki kereta dan kenderaan demi menikmati kehidupan yang baik.

Namun ketika pandemik melanda negara, ramai mekanik tradisional terpaksa berdepan kesukaran disebabkan bengkel yang kerap kosong dan kini terpaksa bergantung dengan pelanggan setia.

Ah Tick menceburkan diri dalam perniagaan membaiki kereta sejak 20 tahun lalu, namun, pendapatannya semakin berkurangan selepas saban tahun pelanggan semakin kurang datang ke bengkelnya.

“Kini, kami hanya perolehi pendapatan cukup-cukup makan saja untuk teruskan perniagaan. Kami dah tak ambil gaji bulanan, kami dapat gaji harian jika boleh.”

Bengkel Ah Tick menerima kereta dan lori. Bagaimanapun, katanya, bilangan kenderaan semakin berkurangan di bengkelnya.

“Kami biasanya baiki lori kerana pemilik tak mampu bayar bengkel yang sah. Tapi kalau kereta memang kurang dari sebelum ni,” katanya di samping menambah pendepatan mereka berkurang secara drastik berbanding beberapa tahun sebelum ini.

Ah Tick berkata ramai orang, baik yang muda atau pun tua tidak lagi mahu menggunakan perkhidmatan bengkel tradisional.

“Orang berpendidikan tidak datang ke sini kerana bila tengok kedai kami; tak bersih, tidak ada penyaman udara atau wi-fi,”

“Mereka lebih suka persekitaran yang selesa untuk duduk dan berehat sambil bermain dengan telefon mereka, jadi mereka pilih pusat servis yang sah,” katanya kepada MalaysiaNow.

Walaupun begitu, Ah Tick menjelaskan bahawa perniagaannya masih bertahan dengan bantuan pelanggan tetap dari generasi tua yang telah bertahun-tahun mengunjungi kedainya.

Sementara itu, mekanik kenderaan dan pemilik perniagaan, David berkata perniagaan perkhidmatan membaiki kenderaan agak sukar diramalkan kerana kadangkala pelanggan banyak dan kadang-kadang premis kosong.

Berada dalam bidang itu sejak 11 tahun lepas, David berkata masalah utama yang dihadapinya bukan bilangan pelanggan, sebaliknya mencari pekerja yang sanggup bertahan dengan kerja tersebut.

“Sukar untuk jaga kakitangan yang sedia bekerja keras kerana banyak orang muda sekarang tak mahu bekerja dengan tekanan fizikal. Kami tidak boleh kritik mereka ketika bekerja. Jika tidak, esok mereka tidak akan datang bekerja,” katanya.

David turur menambah bahawa majikannya dulu akan membaling sepana sekiranya mekanik baru melakukan kesalahan semasa bekerja.

Bagaimanapun, David bersetuju bahawa pemilik kenderaan tidak lagi mengunjungi bengkel tradisional kecuali mereka mendapat cadangan daripada rakan atau ahli keluarga.

“Kemudian mereka akan datang lagi secara berkala jika mereka berpuas hati dengan perkhidmatan yang kami tawarkan kepada mereka,” katanya.

Ramai orang cenderung berfikir bahawa bengkel tradisional adalah kedai yang sering mengenakan harga tinggi atau mekaniknya tidak begitu jujur.

Semuanya kerana pengalaman buruk dengan mekanik tertentu atau mendengar cerita mengenai mekanik yang tidak jujur.

Namun David menolak dakwaan tersebut, katanya, insiden sedemikian itu adalah bergantung kepada orang yang membaiki kenderaan dan bukan semua mekanik tidak jujur.

“Ia benar-benar bergantung kepada orang, tidak semua pusat servis kereta seperti itu. Kami kenakan bayaran kepada pelanggan dengan harga berpatutan.”

Namun, dia memberitahu MalaysiaNow bahawa orang ramai selalu mahukan perkhidmatan terbaik dengan harga yang murah, namun katanya perkhidmatan sebegitu bukannya senang diperoleh.