- Iklan -
Berita

Intip perbualan telefon Anwar-Zahid langgar hak privasi, kata Maria

Maria mahu pihak berkuasa menyiasat dalang intipan perbualan tersebut.

Siva Selan
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah menyifatkan rakaman panggilan telefon antara presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR Anwar Ibrahim adalah pencerobohan privasi yang perlu segera disiasat pihak berkuasa.

“Ini adalah pelanggaran hak privasi,” katanya dalam respons terhadap perbualan mengenai Perhimpunan Agung Umno dan didedahkan dalam rakaman audio awal bulan ini.

Dalam rakaman berdurasi empat minit didedahkan MalaysiaNow, suara seakan dua pemimpin parti politik itu didengar saling berterima kasih dan menyatakan rasa senang hati selepas perwakilan-perwakilan Umno bersetuju dengan usul Zahid supaya parti itu memutuskan hubungan dengan gabungan Perikatan Nasional (PN).

Dalam rakaman itu juga, Zahid didengar turut berterima kasih atas sokongan moral diberikan Anwar.

MalaysiaNow yang menerima rakaman tersebut melalui sumber yang dipercayai boleh mengesahkan suara-suara yang dirakam tersebut adalah tulen milik dua pemimpin parti itu

Kedua-dua pemimpin parti itu juga berkata akan mengarahkan pegawai masing-masing untuk melaporkan perkara tersebut kepada polis.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador turut dilaporkan berkata mereka berdua akan dipanggil untuk membantu siasatan.

Menurut Maria pihak berkuasa tidak sepatutnya memberikan keutamaan terhadap keaslian klip, sebaliknya beliau berkata perbuatan mengintip perbualan telefon tersebut perlu disiasat

“Intipan telefon itu pada saya mendengar atau merakam secara diam-diam atau bertujuan untuk mendapatkan maklumat mengenai aktiviti orang lain,” katanya kepada MalaysiaNow, dan menambah hal ini dilakukan untuk memfitnah mereka yang terlibat .

“Bagi saya, itu salah dari segi undang-undang dan boleh didakwa melanggar privasi,” tambahnya.

Beliau berkata rakaman yang dibocorkan itu juga melanggar hak seseorang untuk hidup bermaruah selain turut menambah semua orang berhak untuk dilindungi daripada ancaman terhadap privasi mereka.

“Mungkin terdapat keadaan untuk rakaman perbualan telefon yang boleh dilakukan dengan kebenaran pihak berkuasa atau agensi berkaitan sekiranya melibatkan keselamatan negara contohnya semasa perang.

“Saya sangat berharap perkara ini akan disiasat dan orang yang melakukan rakaman perbualan itu dibawa ke muka pengadilan,” katanya.