- Iklan -
Berita

Agong gesa ahli politik fokus melawan Covid-19

Sultan Abdullah mahu ahli politik menjalankan amanah, dan menjadi contoh penyatuan kepada rakyat.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah. Gambar: Bernama
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah. Gambar: Bernama

Di ambang bulan Ramadan, Istana Negara hari ini menasihatkan ahli politik menjadi contoh dan fokus kepada membantu rakyat yang terjejas akibat Covid-19.

Dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata kerajaan yang teguh merupakan prasyarat utama untuk kestabilan politik negara.

“Keutamaan dalam tempoh darurat sehingga 1 Ogos sewajarnya diberikan kepada usaha melawan wabak Covid-19.

“Biarlah kehadiran bulan Ramadan yang mulia ini menjadi titik mula penambahbaikan landskap politik yang bersih, beradab dan berintegriti,” kata kenyataan tersebut.

Kira-kira dua minggu lalu, Sultan Abdullah turut menyeru semua rakyat untuk berganding bahu menunaikan tanggungjawab melindungi diri dan masyarakat menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Beliau berkata usaha melawan pandemik Covid-19 wajar digalas menerusi kerjasama semua pihak termasuk kerjasama antara kerajaan dan rakyat serta melalui semangat setiakawan yang erat.

Dalam kenyataan yang sama hari ini, Sultan Abdullah menasihatkan seluruh rakyat untuk mematuhi SOP Covid-19 ketika menganjurkan program dan majlis di bulan Ramadan.

Tahun lalu, Sultan Abdullah memberi peringatan kepada ahli politik untuk menghentikan semua “politicking” yang mengganggu kestabilan pentadbiran negara.

Beliau menggesa semua ahli politik untuk bersatu melawan pandemik Covid-19 dan tidak memberikan keutamaan terhadap perbezaan politik antara mereka.