- Iklan -
Berita

Azmin yakin rakaman ‘perbualan telefon’ Anwar, Zahid sahih

Azmin menyifatkan kandungan perbualan telefon tersebut sebagai 'pengkhianatan terbesar'.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali kini merupakan pemimpin Bersatu yang diketuai Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama
Bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali kini merupakan pemimpin Bersatu yang diketuai Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama

Bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali hari ini secara terbuka mengesahkan sekali gus meyakini rakaman perbualan telefon membincangkan Perhimpunan Agung Umno antara dua individu yang bocor baru-baru ini adalah Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya sebagai pegawai yang telah berkhidmat dengan beliau (Anwar) sekian lama dan merupakan setiausaha sulit beliau, saya yakin itu adalah rakaman yang sahih, yang akan dibuktikan melalui penyiasatan,” katanya ketika melawat sebuah masjid di kawasan Parlimennya, di Gombak.

Sebelum ini, beberapa orang tokoh politik turut dilaporkan secara terbuka berkata mereka percaya bahawa audio perbualan yang merakamkan suara persis presiden Umno dan PKR tersebut adalah tulen.

Semalam, Anwar dilaporkan mempersoalkan kalau pun klip audio tersebut tulen, ia bukanlah suatu jenayah.

Dalam rakaman berdurasi empat minit didedahkan MalaysiaNow, suara seakan dua pemimpin parti politik itu didengar saling berterima kasih dan menyatakan rasa senang hati selepas perwakilan-perwakilan Umno bersetuju dengan usul Zahid supaya parti itu memutuskan hubungan dengan gabungan Perikatan Nasional (PN).

Dalam rakaman itu juga, Zahid didengar turut berterima kasih atas sokongan moral Anwar kepadanya.

MalaysiaNow yang menerima rakaman tersebut melalui sumber yang dipercayai boleh mengesahkan suara-suara yang dirakam tersebut adalah tulen milik dua pemimpin parti itu

Kedua-dua pemimpin parti itu juga berkata akan menghantar pegawai masing-masing untuk melaporkan perkara kepada polis.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador turut dilaporkan berkata mereka berdua akan dipanggil untuk membantu siasatan.

Sebelum ini, bekas ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin dan bekas setiausaha agung Umno Annuar Musa berkata mereka percaya suara di dalam klip video tersebut adalah milik Anwar dan Zahid.

Azmin yang pernah menjadi orang kanan Anwar menyifatkan kandungan yang ada dalam rakaman perbualan tersebut adalah “pengkhianatan terbesar” yang dilakukan Anwar terhadap PKR dan parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH).

“Kita berharap kedua dua individu ini perlu jujur kepada sekurang-kurangnya kepada ahli parti masing-masing.

“Saya kira ini merupakan pengkhianatan terbesar yang dilakukan oleh Anwar bukan sahaja kepada partinya sendiri tetapi juga kepada anggota komponen PH kerana secara sulit menjalankan rundingan dan perbincangan (dengan Zahid).”