- Iklan -
Berita

Pusat beli-belah, pasar raya, hotel penuh semula selepas PKP dilonggarkan

Pakar kesihatan beri amaran mungkin negara hadapi gelombang keempat jika SOP diabaikan.

Farhira Farudin
3 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai membeli-belah di pasar raya sebelum seminggu lagi negara menyambut bulan Ramadan.
Orang ramai membeli-belah di pasar raya sebelum seminggu lagi negara menyambut bulan Ramadan.

Pasar raya, hotel dan pusat beli-belah sesak apabila rakyat Malaysia memanfaatkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) kesihatan selepas lebih setahun terganggu akibat pandemik Covid-19, kunjungan orang ramai dijangka meningkat ketika seminggu lagi negara menyambut bulan Ramadan.

Sekatan-sekatan Covid-19, termasuk yang paling longgar perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), sehingga PKP diperketatkan (PKPD) iaitu sekatan pergerakan yang mewajibkan penduduk di kawasan tersebut berkurung di kawasan rumah sahaja dilaksanakan di beberapa kawasan

Setakat ini, beberapa negeri masih berstatus PKP bersyarat (PKPB) termasuk Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur.

Walaupun masih dalam PKPB, hanya dengan satu tahap sahaja ia diketatkan.

Rakyat Malaysia mungkin akan berdepan kesukaran hidup kerana ia akan menyaksikan hanya perkhidmatan utama sahaja dibenarkan untuk dibuka.

Pengendali hotel yang ditemui MalaysiaNow berkata bilik hotel mereka hampir penuh menjelang awal Ramadan minggu depan.

Pengurus Besar Royale Chulan Kuala Lumpur, Badrul Rezal Baharudin berkata perubahan itu seakan “comeback” bagi industri perhotelan.

Beliau berkata lebih 80% bilik hotel ditempah, sementara jadual ruang dewan dipenuhi majlis dan acara pada hujung minggu.

Katanya, walaupun pada hari bekerja, sekurang-kurangnya 70% bilik ditempah oleh pelancong tempatan.

“Dah lama kami tak sibuk macam ini,” kata Badrul.

Walaupun gembira dengan perkembangan tersebut, Badrul mengakui semakin ramai pengunjung bermakna akan lebih banyak cabaran dihadapi pihaknya ketika melaksanakan SOP.

Menurut garis panduan yang disediakan Majlis Keselamatan Negara, hotel harus mengehadkan jumlah tetamu di ruang dewan sebanyak 50% daripada kapasiti ruangnya selain wajib memastikan tetamu patuh dengan SOP penjarakan fizikal.

Hanya sebilangan tetamu yang diizinkan untuk menggunakan kemudahan hotel dengan jadual waktu tertentu, selain memerlukan tempahan awal terlebih dahulu.

Langkah seperti itu mungkin lebih sukar dilaksanakan setahun lalu, kata Badrul.

Pada saat itu, katanya, orang masih cuba biasakan diri dengan norma baru.

Namun, katanya, ketika ini langkah-langkah seperti memakai pelitup muka dan memeriksa suhu adalah perkara pertama yang diutamakan.

Pihak hotel juga katanya, akan terus memantau kakitangan supaya tidak terleka sehingga mengabaikan SOP.

“Kami masih pandang serius SOP dan pastikan tetamu mematuhi peraturan.”

Bagaimanapun, dalam industri yang mengamalkan kepuasan pelanggan menjadi keutamaannya, hal ini ini kadang-kadang mudah diungkap tetapi sukar untuk melaksanakannya.

“Kita kena pandailah macam mana nak buat,” kata Badrul.

Masih sesuaikan diri

Pekerja rangkaian pasar raya terkenal di Puncak Alam, Selangor, Nuruddin Hamzah turut bersetuju sukar untuk memastikan semua orang mengikuti SOP.

Dia berkata setakat pemerhatiannya, kebanyakan orang tidak mematuhi peraturan penjarakan fizikal walaupun kebanyakan dilihat mengikuti arahan pemakaian pelitup muka dan pembersih tangan.

“Kebanyakan pengunjung tidak jaga jarak di kaunter pembayaran.

“Satu-satunya yang jarakkan mereka ialah troli,” katanya.

Dalam pada itu, dia berkata terdapat peningkatan jumlah pelanggan sejak PKP dilonggarkan, terutamanya pada hujung minggu.

Nuruddin juga berkata jumlah pesanan melalui dalam talian dilihat menurun.

Menurutnya, kebanyakan orang lebih gemar membeli-belah secara fizikal daripada sering risau menunggu barangan ketika membuat pesanan dalam talian.

Sementara itu, pakar kesihatan berkata gelombang jangkitan keempat boleh berlaku jika SOP diabaikan sebaik sahaja keputusan kerajaan untuk melonggarkan PKP.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Subramaniam Muniandy berkata hal ini berlaku di lokasi-lokasi yang sesak menjelang musim Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

“Kemungkinan gelombang keempat berlaku jika seseorang pesakit Covid-19 melakukan kontak dengan orang ramai di pusat membeli-belah,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Masalahnya sekarang, orang jadi relaks. Walaupun anda dah terima vaksin, Anda tidak boleh abaikan virus ini.”

Beliau juga turut memperingatkan kemungkinan wujud varian mutan seperti apa yang terjadi di Afrika Selatan dan United Kingdom.

“Dalam masa satu tahun lagi, varian mutan ini mungkin jadi sangat sukar untuk dikendalikan jika kita tidak berjaga-jaga.”

Beliau turut menambah program vaksinasi kebangsaan yang sedang dilaksanakan tidak boleh menjadi alasan untuk seseorang tidak mematuhi SOP.

“Walaupun vaksinasi mungkin berfungsi, ia bagaimanapun tidak terlalu spesifik,” katanya.

“Kita mesti lihat hal ini seakan kita masih terpaksa berdepan pandemik ini untuk satu tahun lagi.

“Covid-19 tak akan hilang mudah begitu sahaja.”