- Iklan -
Berita

PAS tolak ‘jajaran baru’, runding kerusi hanya dengan PN

PAS menganggap Umno bermasalah dan berubah dari muafakat politik bersama Bersatu.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden PAS Abdul Hadi Awang. Gambar: Bernama
Presiden PAS Abdul Hadi Awang. Gambar: Bernama

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata setakat ini parti Islam itu hanya merundingkan pembahagian kerusi bersama Bersatu kerana Umno sedang menghadapi masalah dalaman ketika ini.

Ketika ditanya selepas kuliah mingguannya di Masjid Rusila, Terengganu, Hadi berkata perbincangan mengenai pembahagian kerusi akan tertakluk kepada bagaimana Umno menyelesaikan masalah dalamannya.

“Kerana ada jawatankuasa yang dah dibentuk, tapi dia berubah (pendirian).

“Oleh kerana Umno bermasalah, kita selesaikan dengan bersatu,” kata Hadi.

Hadi berkata, PAS akan sentiasa memerhatikan perkembangan semasa mengenai hubungan politiknya dengan Umno susulan parti itu menolak kerjasama PAS-Bersatu di Terengganu.

“Kita akan tengok perkembangan selanjutnya. Kerana dalam Umno sekali pun tidak sekata.

“Masalah pimpinan Umno tak ikut hal merekalah. Kita nak menyatukan orang Melayu. Bukan Umno dan PAS saja Melayu,” katanya.

Ogos tahun lalu, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin memaklumkan Majlis Tertinggi Bersatu membuat keputusan bersetuju untuk menyertai Muafakat Nasional (MN) yang dianggotai PAS dan Umno.

Cadangan untuk menjadikan MN sebagai gabungan rasmi yang didaftarkan dengan RoS sebelum ini diputuskan oleh biro politik Umno, dalam usaha mempersiapkan parti itu mendepani pilihan raya umum akan datang.

MN sebelum ini dirancang sebagai organisasi rasmi politik membolehkan tiga parti yang menerajui kerajaan ketika ini, Umno, Bersatu dan PAS mewakili gabungan parti masing-masing dalam membuat keputusan penting termasuk soal agihan kerusi dan jawatan dalam kerajaan.