- Iklan -
Berita

Keputusan guna vaksin AstraZeneca ditentukan dua minggu lagi, kata Khairy

Laporan Agensi Perubatan Eropah (EMA) mengesahkan buat pertama kali terdapat kaitan antara penggunaan vaksin AstraZeneca dengan kes pembekuan darah.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Vaksin AstraZeneca digunakan di sekurang-kurangnya 111 negara. Gambar: AP
Vaksin AstraZeneca digunakan di sekurang-kurangnya 111 negara. Gambar: AP

Keputusan sama ada Malaysia boleh meneruskan penggunaan vaksin AstraZeneca Covid-19 atau tidak, bakal ditentukan pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang akan diadakan dua minggu lagi.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata menerusi mesyuarat itu, kerajaan akan meneliti sebarang maklumat tambahan yang akan dibentangkan oleh panel pakar daripada kementerian kesihatan (KKM), sebelum membuat sebarang keputusan.

Beliau berkata kerajaan mengambil maklum laporan Agensi Perubatan Eropah (EMA) yang mengesahkan buat pertama kali terdapat kaitan antara penggunaan vaksin AstraZeneca dengan kes pembekuan darah.

“Jadi dalam hal ini, sebelum pengumuman (EMA) tersebut, pendirian kita seperti mana yang dinyatakan oleh Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dua hari lepas yang kita akan teruskan dengan vaksin AstraZeneca.

“Tetapi, saya rasa pendirian yang cermat adalah untuk kita merujuk semula kepada JKJAV berdasarkan kepada maklumat terkini yang telah kita dapati daripada pihak EMA,” katanya selepas majlis pelancaran Kempen Kesedaran Autisme Champs-Nasom 2021.

Pada 7 April, EMA menerusi Twitter rasmi memaklumkan Jawatankuasa Keselamatan EMA (PRAC) mendapati penggunaan vaksin AstraZeneca dikaitkan dengan pembekuan darah luar biasa dengan platelet darah rendah dan harus disenaraikan sebagai kesan sampingan vaksin yang sangat jarang berlaku.

Bagaimanapun, Khairy yang juga menteri sains, teknologi dan inovasi meminta orang ramai supaya tidak gusar mengenai sebarang laporan berhubung vaksin AstraZeneca yang dijadual tiba bulan depan kerana JKJAV mempunyai masa mencukupi untuk membuat keputusan sama ada penggunaannya diteruskan atau sebaliknya.

Mengenai cadangan pengenalan pasport vaksin Covid-19 kepada individu yang telah menerima vaksin, Khairy berkata dokumen itu hendaklah mengandungi butiran vaksinasi tersebut serta ujian saringan dalam tempoh 72 jam sebelum sesuatu perjalanan sebagai bukti rujukan.

“Macam Qatar mengumumkan kalau ada bukti vaksinasi dan ujian saringan baru boleh masuk tanpa kuarantin. Kita belum lagi buat keputusan bila, sekiranya kita buat keputusan untuk memberi sedikit kelonggaran (perjalanan) kepada mereka yang telah divaksin, mesti ada bukti,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairy berkata kerajaan bercadang untuk memberi vaksin Covid-19 yang hanya memerlukan satu dos suntikan kepada masyarakat Orang Asli kerana ia dapat memudahkan pihak pengurusan vaksinator selain mengelakkan komuniti tersebut keluar berulang kali bagi mendapatkan vaksin.

Beliau berkata ketika ini hanya terdapat dua jenis vaksin Covid-19 yang cuma perlu diambil satu dos dan telah melalui ujian klinikal fasa ketiga iaitu CanSino yang kini dalam proses pendaftaran dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) selain Johnson & Johnson (J&J).

“J&J kalau kita hendak beli, hanya boleh dihantar pada suku keempat tahun ini. Jadi kalau kita buat perbandingan, sekiranya tidak ada masalah pendaftaran, saya rasa CanSino lagi awal dan kalau pendaftaran diluluskan kita akan gunakannya di kawasan pedalaman,” katanya.