Sunday, October 24, 2021

Tiada hasil, tiadalah duit: Petani Sarawak berjuang hidup sepanjang PKP  

Ramai petani dan peniaga kecil terpaksa hadapi dilema tanggung risiko jangkitan atau mati kelaparan.

Other News

Beberapa orang petani kecil di kawasan bandar Siburan di Serian, Sarawak yang kini menjalani perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) tertekan memikirkan bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah yang hanya ada dalam bidang mereka.

Beberapa tahap PKP yang dilaksanakan sejak Mac tahun lalu bagi membendung penularan Covid-19 menjejaskan banyak perniagaan di seluruh negara.

Tidak semuanya berjaya pulih daripada kerugian yang dihadapi mereka.

Pelanggan masih tidak dapat disapa sementara barangan masih disimpan ketika orang ramai tidak berbelanja bagi berdepan Covid-19 yang melanda gelombang demi gelombang.

Namun bagi golongan petani, barangan itu ada di ladang, jika mereka tak boleh menuai hasil, mereka kehilangan duit dan juga hasil tanaman.

Limping Anak Engki, seorang pesawah padi dari Kampung Batu Gong berkata PKPD yang dilaksanakan di kampung mereka pada 28 Mac lalu sememangnya menjejaskan kerja hariannya.

Pasar basah Medan Niaga Satok, Sarawak.

Biasanya, petani-petani akan bangun di awal pagi mengerjakan hari mereka.

Namun Limping tidak lagi dapat melawat kebun-kebunnya sejak PKPD dilaksanakan.

“Saya tak ada pekerja untuk bantu tuai hasil tanaman,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Bila PKPD, kami sudah tak boleh jual lagi hasil tanaman sebab petani dah tak boleh bekerja.”

Tidak lama lagi, katanya, sawah padinya akan layu dan kemudian mati kerana tak dapat menjaganya.

Limping yang juga merupakan seorang ketua kampung, berkata ramai petani lain yang cuba menjual hasil tanaman mereka sebelum rosak.

“Majoriti keluarga di Siburan adalah petani kecil,” katanya.

“Mata pencarian kami tidak seperti di bandar. Orang bandar orang yang berpendidikan dan mampu memperoleh ribuan ringgit setiap bulan.

“Petani seperti kami hanya mampu memperolehi pendapatan yang cukup-cukup sahaja untuk makan dan minum keluarga.

“Walaupun begitu, ada beberapa orang penduduk kampung yang sukar untuk sediakan makanan kepada keluarga kerana mereka mendapat gaji harian. Mereka ini harus keluar, cari kerja sebagai buruh.”

Ahmit, seorang petani dari Kampung Chupak yang turut berada di bawah PKPD seperti Kampung Batu Gong, berkata cuaca yang tidak menentu ketika ini juga turut menjadikan keadaan mereka lebih parah.

Beliau menambah dengan cuaca buruk dan ditambah pula keadaan pandemik, ia menyebabkan ramai petani percaya mereka mungkin terpaksa memilih sama ada jatuh sakit terkena jangkitan atau mati kelaparan.

Dalam pada itu, penjual ikan turut menghadapi masalah hampir serupa ekoran PKPD yang dilaksanakan selepas angka jangkitan Covid-19 meningkat.

Sebahagian daripada mereka mengubah perniagaan ke platform digital.

Langkah itu nampaknya mula membuahkan pendapatan.

Penjual ikan, Dzulfitri Ismadi turut menggunakan platform digital bagi meningkatkan jualan ketika PKP.

Dzulfitri Ismadi yang berasal dari Kuching, memulakan perniagaan dalam talian selepas perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan tidak memberikan beliau peluang lain.

Sejak lima tahun lalu, Dzulfitri menjual ikannya di pasar Medan Niaga Satok di Petra Jaya sehinggalah dia berhenti menjual di sana akibat pandemik.

“Semua orang disekat dari pergi ke mana-mana. Jadi pelanggan terpaksa bergantung dengan perkhidmatan penghantaran. Begitulah ia bermula, kemudian saya perluaskan lagi perniagaan dalam talian saya,” kata pemuda berusia 28 tahun itu kepada MalaysiaNow.

Dia berkata PKP telah memaksanya untuk beradaptasi dengan pemasaran dalam talian serta menggunakan Facebook, WhatsApp dan bahkan Shopee.

“Saya iklan ikan di media sosial dan pelanggan cuma tinggal order sahaja,” katanya.

Berhubung keuntungan ketika ini, katanya, ia jauh berbeza dari sebelum pandemik namun dia bersyukur kerana masih mampu bertahan.

Sebelum pandemik, Dzulfitri akan membuka kedainya dari pukul 7 pagi sehingga 4 petang, tujuh hari berturut-turut.

Namun keadaan ketika ini berbeza, katanya, dia harus segera beradaptasi dengan cabaran-cabaran perniagaan dalam talian.

“Saya tak pernah buat perniagaan online sebelum ini, jadi bila pertama kali mulakan, memang agak mencabar juga kerana saya terpaksa belajar semuanya dari kosong,”

Namun, walaupun Dzulfitri berjaya bertahan dengan perniagaan dalam taliannya, terdapat juga yang tidak begitu bernasib baik.

Erwan Seron kehilangan 75% perniagaannya selepas pandemik melanda.

“Sebelum ini, sehari saya boleh dapat RM200, lagi-lagi waktu musim cuti sekolah.”

Sejak larangan rentas negeri dilaksanakan, katanya, pengunjung dari Semenanjung semakin berkurangan.

Erwan juga berkata terpaksa bersaing dengan pasar rayai yang sudah tentu memiliki lebih banyak sumber berbanding dirinya.

“Sekarang ini, lebih sukar untuk saya jana pendapatan,” kata bekas penghidap kanser berusia 47 tahun itu kepada MalaysiaNow.

Bobby Kimilang pula, penjual sayur-sayuran, sering menghadapi masalah barang berlebihan apabila PKP menjatuhkan jualannya.

Ketika PKP dilaksanakan, dia terpaksa membuang beberapa tan stok sayurnya yang segar kerana tidak terjual.

Begitulah pandemik yang nampaknya masih belum kunjung reda. Begitulah juga masalah yang dihadapi mereka.

“Kami berdepan semua masalah ini sejak dari awal pandemik bermula,” kata Bobby.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles