- Iklan -
Berita

SKMM belum terima laporan audio Zahid-Anwar, kata menteri

Rakaman audio berdurasi 4 minit 17 saat yang tular dalam media sosial, antara lain memaparkan suara mirip Anwar memuji ucapan Zahid dalam Perhimpunan Agung Umno lepas.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah. Gambar: Bernama
Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah. Gambar: Bernama

Rakaman audio perbualan didakwa mirip suara Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang tersebar, hanya akan disiasat sekiranya terdapat laporan dibuat mengenainya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata, pada masa ini pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mahupun CyberSecurity Malaysia, belum menerima laporan berhubung perkara itu.

“Kita tunggu, kalau ada laporan dibuat, biasanya kes-kes seperti ini akan disiasat di bawah CyberSecurity, setakat saya tahu belum ada laporan dibuat kepada kami…tak semudah itu (untuk mengambil tindakan kepada penyebar), kalau ada laporan kita akan siasat,” katanya kepada pemberita sebelum majlis mengadap Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, di Istana Arau di Arau hari ini.

Saifuddin diminta mengulas mengenai rakaman audio berdurasi 4 minit 17 saat yang tular dalam media sosial, yang antara lain memaparkan suara mirip Anwar memuji ucapan Zahid dalam Perhimpunan Agung Umno yang lepas, menerusi panggilan telefon.

Dalam pada itu, mengenai kunjungan hormat beliau mengadap Raja Perlis itu, Saifuddin berkata antara topik yang dibincangkan bersama Tuanku Syed Sirajuddin ialah berkaitan kesalinghubungan internet dan perkembangan ekonomi digital.

“Saya mendapat maklum Tuanku Raja Perlis memang sangat berminat bukan saja soal kesalinghubungan, tetapi juga kemajuan Perlis dari segi ekonomi digital,” katanya.

Saifuddin berkata, beliau juga memohon titah nasihat daripada baginda mengenai perkara yang boleh ditambah baik di Perlis, terutama hal-hal yang menjadi tanggungjawab kementerian itu dan agensi di bawahnya.