- Iklan -
Berita

Selepas lebih 24 jam audio didedahkan, polis masih belum terima laporan

Persoalan timbul tentang mengapa Ahmad Zahid Hamidi dan Anwar Ibrahim mengarahkan pihak ketiga membuat laporan polis berhubung rakaman audio melibatkan mereka.

MalaysiaNow
1 minit bacaan
Kongsi
Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. Gambar: Bernama
Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. Gambar: Bernama

Polis masih belum menerima sebarang laporan sama ada daripada Ahmad Zahid Hamidi mahupun Anwar Ibrahim, lebih 24 jam selepas rakaman audio perbualan mereka tersebar sehingga menyebabkan kemarahan dari dalam Umno.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mengesahkan kepada MalaysiaNow, tiada sebarang laporan polis dibuat sehingga kini, walaupun kedua-dua Zahid dan Anwar menafikan rakaman perbualan itu merupakan suara mereka.

Sebelum ini kedua-dua ahli politik itu mengatakan mereka akan mengarahkan pegawai untuk membuat laporan polis bagi menyiasat klip audio itu.

Zahid dan Anwar, presiden Umno dan PKR, mendakwa rakaman audio mirip suara mereka itu adalah palsu.

Rakaman audio berdurasi empat minit itu turut menunjukkan dua pemimpin parti politik itu saling berterima kasih dan menyatakan rasa senang hati selepas perwakilan-perwakilan Umno bersetuju dengan usul Zahid supaya parti itu memutuskan hubungan dengan gabungan Perikatan Nasional (PN).

Zahid turut mengucapkan terima kasih kepada Anwar di atas sokongan moralnya.

Di sebalik penafian mereka, MalaysiaNow dapat mengesahkan bahawa rakaman audio itu tulen dan suara dalam perbualan itu adalah Anwar dan Zahid.

Sementara persoalan timbul tentang mengapa kedua-dua pemimpin itu menggunakan pihak ketiga untuk membuat laporan polis terhadap klip audio melibatkan mereka.

Seorang peguam kanan memberitahu MalaysiaNow ini mungkin disebabkan kesan undang-undang yang merumitkan.

Mohd Haniff Khatri berkata, terdapat risiko mereka didakwa membuat laporan polis palsu sekiranya rakaman perbualan itu dibuktikan tulen.

“Sekiranya salah seorang atau kedua-dua mereka terlibat, maka kalau mereka sendiri membuat laporan, ianya boleh dikatakan sebagai memberi laporan palsu,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Besar kemungkinan, kedua-duanya mengambil taktik perundangan di mana pegawai mereka membuat laporan, supaya mereka sendiri tidak dikatakan membuat laporan palsu.”