Monday, April 19, 2021

Peguam Najib diingat tidak ulangi poin telah dibangkitkan 

Hakim memerintahkan peguam Najib ringkaskan penghujahan kerana banyak poin telah dikemukakan pada hujahan sebelum ini.

Other News

Hakim Mahkamah Rayuan Abdul Karim Abdul Jalil mengingatkan peguam Najib Razak agar tidak mengulangi poin yang sama dalam pendengaran rayuan bekas perdana menteri itu terhadap tuduhan menyalahgunakan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Abdul Karim meminta peguam Harvinderjit Singh untuk meringkaskan penghujahannya kerana banyak poin telah dikemukakan pada hujahan sebelum ini yang dibentangkan oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah.

“Anda mengulanginya lagi dan lagi. Adalah lebih baik anda gunakan ia untuk kaitkan dengan kes pecah amanah (CBT) terhadap Najib. Daripada anda bangkitkan di hadapan kami yang telah dihujahkan oleh Shafee. Sila beri penerangan yang jelas kepada kami.

“Sebenarnya anda mengulanginya. Saya tahu anda mahu menekankan perkara itu kepada kami. Tetapi ini adalah Mahkamah Rayuan. Lebih baik fokus kepada perkara lain,” kata hakim Abdul Karim.

Harvinderjit kemudian menyambung penghujahannya. Hakim Abdul Karim mengetuai pendengaran rayuan Najib itu bersama hakim Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera.

Terdahulu, Harvinderjit berhujah bahawa pihak pendakwaan telah memilih untuk mendakwa Najib bagi CBT berkaitan dana SRC International berjumlah RM42 juta apabila penyiasat mengeluarkan notis merah untuk menahan tiga yang lain atas kesalahan itu.

Beliau berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah meminta Interpol mengeluarkan notis merah kepada bekas Pengarah SRC Suboh Md Yassin, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) SRC Nik Faisal Ariff Kamil dan seorang lagi individu dikenali sebagai Redzuan Adam Shah.

“Pada bulan Jun atau Julai 2018, notis merah telah dikeluarkan terhadap ketiga-tiga individu itu atas CBT berjumlah RM50 juta.

“Setelah ketetapan itu, pihak pendakwaan tiba-tiba memutuskan untuk mendakwa Najib,” katanya dan menambah ketiga-tiga mereka dikatakan telah melarikan diri ke luar negara selepas pilihan raya umum, 9 Mei 2018.

Hakim Abdul Karim kemudian mencelah, “pihak pendakwaan mempunyai budi bicara untuk berbuat demikian”.

Harvinderjit juga berkata Suboh dan Nik Faisal diberi kuasa sebagai penandatangan bagi SRC dan Gandingan Mentari Sdn Bhd (GMSB) bukannya Najib.

Pada 28 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas mendapati beliau bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan membabitkan RM42 juta dana milik SRC International.

Prosiding rayuan bersambung.

 

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles