- Iklan -
Berita

Bersatu guna rakaman audio untuk ‘tikam’ pemimpin Umno, kata Anwar

Presiden PKR itu juga akan melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis untuk siasatan siapa dalang di sebaliknya.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam sebuah sidang media.
Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam sebuah sidang media.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim menafikan rakaman audio tular perbualannya dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan mendakwa ia adalah “politik Bersatu” untuk menikam pimpinan Umno.

Menurut Anwar, terdapat usaha memfitnah beliau dengan cara yang lebih canggih dan pihaknya sudah menyerahkan kepada pihak polis bagi menyiasat perkara tersebut.

“Ini nak gunakan kita, nak lawan politik dalam Umno, nak guna kononnya perbualan saya dengan Zahid untuk politik Bersatu nak menikam pimpinan Umno.

“Ini bukan kerja saya. Sebab itu, saya juga akan arah pegawai saya buat laporan polis siasat siapa punca ini,” kata beliau ketika berucap pada majlis perasmian Bilik Gerakan Utama PKR Selangor malam tadi.

Semalam, MalaysiaNow mendedahkan sebuah rakaman audio perbualan telefon di antara presiden Umno dan PKR yang menunjukkan wujud perancangan bersama dua pemimpin itu bagi mencorakkan nada kecenderungan perwakilan dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.

Rakaman audio berdurasi empat minit itu turut menunjukkan dua pemimpin parti politik itu saling berterima kasih dan menyatakan rasa senang hati selepas perwakilan-perwakilan Umno bersetuju dengan usul Zahid supaya parti itu memutuskan hubungan dengan gabungan Perikatan Nasional (PN).

Zahid merupakan sekutu utama Anwar ketika mereka bersama-sama berjuang dalam Umno ketika ia dipimpin Dr Mahathir Mohamad pada tahun 90-an.

Anwar ketika itu dilihat sebagai bakal pengganti Mahathir sebelum perdana menteri itu memecat beliau daripada parti dan kerajaan pada 1998.

Zahid juga adalah antara teman rapat Anwar yang turut ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selepas Anwar dipecat.

Beliau kemudian mengalihkan sokongan dan berikrar untuk setia kepada Mahathir dan kemudian mendaki karier politiknya ketika Anwar meringkuk dalam penjara.