- Iklan -
Berita

AS perbaharui agenda ‘penyelesaian dua negara’, sambung bantu rakyat Palestin

Amerika Syarikat mahu mempertaut semula hubungan dengan Palestin selepas pentadbiran Trump diboikot pemimpin negara itu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Negara AS Antony Blinken di Jabatan Negara, Washington. Gambar: AP
Setiausaha Negara AS Antony Blinken di Jabatan Negara, Washington. Gambar: AP

Pentadbiran Joe Biden mengumumkan pada Rabu ia akan memperuntukkan sejumlah AS$235 juta bagi membantu rakyat Palestin sekali gus memulakan semula pendanaan kepada agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membantu pelarian dan bantuan lain yang sebelum ini dihentikan Donald Trump.

Pakej bantuan termasuk kemanusiaan, ekonomi dan bantuan pembangunan telah disenaraikan oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Anthony Blinken sebagai sebahagian usaha bagi mempertaut semula hubungan negara itu dengan Palestin.

Pakej itu memperuntukkan AS$150 juta menerusi UNRWA, sementara AS$75 juta bagi bantuan ekonomi dan pembangunan selain AS$10 juta lagi bagi program-program pembangunan keamanan di negara itu, kata Blinken.

UNRWA adalah salah satu badan PBB yang membantu pelarian Palestin sejak tahun 1949.

Sebilangan besar pelarian yang dibantu UNRWA adalah keturunan kira-kira 700,000 pelarian warga Palestin yang dihalau dari rumah mereka atau melarikan diri dari perang Nakbah 1948 yang mewujudkan penubuhan Israel.

Namun, jumlah pelarian yang semakin meningkat menyebabkan pentadbiran Trump telah membatalkan bantuan itu pada 2018, menyifatkan rakyat Palestin sebagai “komuniti yang semakin berkembang daripada pemilik benefisiarinya,”.

Pembantu Biden juga turut memberikan isyarat bahawa negara itu mahu memulakan semula usaha rundingan “penyelesaian dua negara” sebagai antara keutamaan dasar luar AS mengenai konflik Israel-Palestin.

Sebarang langkah besar yang bakal diambil negara itu akan dimulakan selepas situasi terkini Israel yang masih tidak dapat menyelesaikan isu pilihan raya Israel yang menemui kebuntuan pada bulan Mac.

Langkah besar negara itu juga turut diambil berdasarkan pilihan raya Palestin yang dijadual akan dilaksanakan di negara itu dalam beberapa bulan akan datang.

Sebelum ini, pentadbiran Trump menyekat hampir semua bantuan kepada Palestin selepas memutuskan hubungan dengan pihak berkuasanya pada 2018.

Langkah itu dilihat sebagai usaha untuk memaksa rakyat Palestin berunding dengan Israel.

Penghentian bantuan dari AS itu juga berlaku selepas pemimpin Palestin mengambil keputusan memboikot usaha keamanan Trump selepas mengambil keputusan mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu negara Israel selain memindahkan kedutaan AS ke sana dari Tel Aviv.

Pejabat Presiden Palestin, Mahmoud Abbas turut dilaporkan menyambut baik komitmen Biden untuk meneruskan usaha “penyelesaian dua negara” dan juga pengumuman bantuan yang dimulakan semula itu.

Bagaimanapun, Duta Israel di AS Gilad Erdan mengkritik inisiatif bantuan dana kepada UNRWA tersebut.

“Kami percaya agensi PBB yang katanya untuk pelarian tidak sepatutnya berfungsi dalam formatnya ketika ini.”

Jurucakap PBB Stephane Dujarric memberitahu Reuters bahawa “Beberapa negara telah mengurangkan sumbangan mereka kepada UNRWA. Kami harap keputusan yang diambil Amerika itu akan turut disusuli negara lain sekali gus mengubah dasar mereka dan kembali bergabung semula.”

Blinken turut berkata pentadbiran Biden juga akan turut memberikan cadangan usaha pembaharuan di UNRWA, yang didakwa pentadbiran Trump sebagai badan yang tidak cekap dalam menguruskan pelarian Palestin dan turut membiarkan konflik Palestin dan Israel berterusan selama puluhan tahun.

Wang yang akan diperuntukkan kepada UNRWA itu bagaimanapun kurang daripada peruntukan sumbangannya sebelum ini iaitu sebanyak AS$365 juta pada tahun 2017.