- Iklan -
Berita

Zahid didakwa di mahkamah selepas enggan ikut permintaan Dr M, kata Ahmad Maslan

Setiausaha Agung Umno itu berkata bahawa beliau menjadi mangsa 'pendakwaan paling zalim di dunia'.

Zahid M Naser
1 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan ketika ditemui petugas media.
Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan ketika ditemui petugas media.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mendakwa Dr Mahathir Mohamad meminta presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi untuk membubarkan parti Melayu itu, atau berisiko didakwa dengan tuduhan rasuah.

“Zahid dihadap ke mahkamah selepas Dr Mahathir meminta beliau untuk menguburkan Umno masuk ke dalam PPBM (Bersatu). Itu diakui sendiri oleh Dr Mahathir,” kata Ahmad dalam program Wacana Sinar yang dianjurkan tabloid Sinar Harian malam tadi.

Bagaimanapun, Ahmad berkata Zahid menolak kemahuan Mahathir tersebut dan 10 hari kemudian beliau didakwa di mahkamah.

“Siapa yang minat sejarah itu lihatlah dengan mata hati yang terbuka,” tambahnya.

Pada 1 April lalu, Zahid mengakui beliau diminta untuk membubarkan Umno yang sudah berusia 75 tahun.

“Kedegilan saya membubarkan Umno menyebabkan saya kini berdepan laluan yang amat sukar,” katanya dalam sebuah hantaran Facebook selepas perhimpunan agung Umno baru-baru ini.

Zahid didakwa di mahkamah pada 19 Oktober 2018, beliau berdepan dengan lebih 40 pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah, dan pengubahan wang haram.

Jika disabitkan kesalahan beliau bakal berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Ahmad yang turut menghadapi pertuduhan rasuah bersama pimpinan kerajaan lain, berkata tindakan undang-undang terhadap mereka itu adalah sebuah pendakwaan bermotifkan politik.

Beliau yang juga ahli Parlimen Pontian dan bekas timbalan menteri kewangan di bawah pentadbiran Najib Razak adalah antara 80 individu dan entiti yang dinamakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada awal tahun lalu sebagai penerima dana 1MDB.

Beliau berkata pihak berkuasa berlaku zalim apabila meminta penerima dana tersebut didenda 50 kali ganda jumlah amaun dana yang diterima mereka.

“Ini adalah pendakwaan yang paling zalim dalam dunia,” katanya.